KOTA KINABALU : Dua lagi daerah iaitu Membakut dan Tenom diisytihar sebagai kawasan bencana banjir di Sabah berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Jumlah itu menjadikan lima daerah di Sabah sudah diisytihar sebagai kawasan dilanda banjir hari ini.
Pengisytiharan bagi daerah Tenom diumumkan Pegawai Daerah Tenom Alexander Liew pada jam 9 pagi.
Manakala bagi daerah Membakut, pengisytiharan dibuat Pegawai Daerah Membakut Yuesri Ismail Yusof pada jam 10 pagi.
Berikutan itu beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) turut diaktifkan bagi menempatkan mangsa terjejas banjir.
Pagi tadi, tiga daerah lain iaitu Sook; Sipitang dan Beaufort telah diisytihar oleh Pegawai Daerah masing-masing iaitu Pegawai Daerah Sook Caroline Benjamin Jiungan pada jam 4.30 pagi; Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A.M Zahari pada jam 6 pagi dan Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Ajun pada jam 8 pagi.






