KOTA KINABALU: Seorang pengasuh dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan seorang bayi lelaki berusia empat bulan di bawah jagaannya sehingga menyebabkan kematian bayi itu.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Chau Ying, 64, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan Chong diletakkan di bawah bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM3,000, jika gagal dipenjara setahun.
Chong juga diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan, jika gagal, didenda RM5,000.
Chong, yang mempunyai tanggungjawab menjaga bayi itu, didapati bersalah bertindak cuai sehingga menyebabkan bayi berkenaan terabai di Taman Sinar Baru, Jalan Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari pada 11 November 2022.
Dia disabitkan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
BERITA LANJUT MENYUSUL….






