Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

MUIS lengkapi sistem kebakaran, terima sijil perakuan bomba

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Lebih RM15 juta diperuntukkan dalam tempoh lima tahun bagi memastikan bangunan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memenuhi sepenuhnya syarat ditetapkan sebelum dianugerahkan Sijil Perakuan Bomba (FC) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peruntukan itu meliputi kerja-kerja menaik taraf sistem keselamatan kebakaran, penyediaan kelengkapan memadam kebakaran serta pelaksanaan latihan keselamatan dalam kalangan kakitangan.

Beliau berkata, aspek amalan dan latihan berkala menjadi antara elemen penting yang ditekankan pihak bomba selain pemasangan sistem dan peralatan keselamatan yang lengkap.

“Sepanjang lima tahun ini, kita melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk menggantikan 12 lif baharu, memasang eskalator baharu serta membaiki bumbung yang mengalami kebocoran.

“Semua keperluan ini adalah bagi memastikan bangunan yang berusia lebih 40 tahun ini benar-benar mematuhi piawaian keselamatan semasa sebelum sijil diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan sijil perakuan bomba dari JBPM Sabah kepada MUIS.

Penyerahan sijil diserahkan oleh Pengarah JBPM Sabah Mohd Pisar Aziz kepada Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad.

Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, bangunan berkenaan kali terakhir menerima sijil pada tahun 1990, namun proses pembaharuan memerlukan pematuhan terhadap syarat dan standard terkini yang ditetapkan JBPM.

Sementara itu, Pisar berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada MUIS atas komitmen mematuhi sepenuhnya keperluan penguatkuasaan bangunan di bawah FC.

Katanya, kejayaan MUIS memperoleh sijil berkenaan membuktikan kesungguhan pihak pengurusan dalam memastikan semua kelengkapan menentang kebakaran dan pemasangan sistem keselamatan kebakaran disediakan secukupnya serta berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, saya bagi pihak JBPM Negeri Sabah mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MUIS kerana telah berjaya menyahut penguatkuasaan bangunan di bawah Perakuan Bomba.

“Ia memastikan kelengkapan menentang kebakaran dan pemasangan keselamatan kebakaran tersedia, mencukupi dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau turut berharap agar semua sistem dan peralatan keselamatan kebakaran yang dipasang akan sentiasa dipantau serta disenggara secara berkala bagi memastikan ia terus berfungsi dengan baik.

“Insya-Allah, dengan sistem yang ada, bangunan ini akan dapat menangani sebarang bahaya kebakaran yang berlaku,” katanya. – SABAH MEDIA 

LEAVE A RESPONSE