Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerajaan Sarawak Fail Petisyen Di Mahkamah Persekutuan Cabar Keabsahan Tiga Undang-Undang Petroleum Persekutuan


Read Time:1 Minute, 58 Second

KUALA LUMPUR,  Kerajaan Negeri Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan keabsahan perlembagaan serta keberterusan pemakaian tiga undang-undang Persekutuan utama yang mengawal selia penerokaan, pengeluaran dan pengurusan sumber petroleum di Malaysia.

Tiga undang-undang yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak, kerajaan negeri berpendapat undang-undang Persekutuan tersebut menjejaskan serta mengehadkan hak Sarawak terhadap sumber aslinya, khususnya minyak dan gas yang terletak di dasar laut Pelantar Benua.

Menurut kerajaan negeri, hak kedaulatan terhadap sumber petroleum dalam sempadan Sarawak telah diberikan oleh kerajaan British pada Hari Malaysia dan terletak pada Sarawak, bukan pada Persekutuan atau kerajaan Persekutuan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta instrumen berkaitannya.

Kerajaan negeri turut merujuk kepada Butiran 2(c) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa perundangan kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk mengawal selia pelaksanaan hak petroleum melalui pajakan perlombongan, sijil dan lesen carigali.

Menurut kenyataan itu, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 pada asalnya hanya terpakai kepada negeri-negeri di Tanah Melayu sebelum diperluaskan kepada Sarawak ketika tempoh Darurat selepas 1969.

Darurat tersebut dibatalkan pada Disember 2011 dan kerajaan negeri berpendirian kedua-dua undang-undang itu sepatutnya tidak lagi terpakai kepada Sarawak menjelang Jun 2012 berdasarkan Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan.

Petisyen itu difailkan susulan permohonan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) pada 10 Jan lalu bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan menentukan kedudukan undang-undang operasi petroleum syarikat berkenaan di Sarawak, susulan ketidaktentuan akibat pertindihan undang-undang Persekutuan dan negeri.

Walaupun mengambil tindakan undang-undang, Sarawak menegaskan ia kekal terbuka untuk rundingan dengan kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian secara baik yang mampu mengukuhkan perpaduan nasional, menggalakkan penggunaan sumber minyak dan gas secara mampan serta membolehkan negeri itu menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Pertikaian bidang kuasa berhubung sektor minyak dan gas ini dilihat semakin memuncak sejak Petros dilantik sebagai agregator gas tunggal di Sarawak pada 2024, meskipun terdapat deklarasi bersama pada Mei 2025 antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengiktiraf kedua-dua PDA dan DGO.

Beberapa perkara berkaitan masih berada di mahkamah, termasuk permohonan Petros untuk mendapatkan semula RM7.95 juta berkaitan jaminan bank yang ditarik balik oleh PETRONAS, dengan Mahkamah Tinggi Kuching menangguhkan keputusan kepada 25 Feb ini.

LEAVE A RESPONSE