Read Time:1 Minute, 20 Second
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak bawah umur.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Jaiman Keminlian, 40, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya pada hari pertama perbicaraan, hari ini.
Mahkamah memerintahkan Jaiman menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.
Jaiman melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang baru berusia tujuh tahun semasa kejadian pada 16 Januari 2024 di sebuah rumah di Likas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama yang memepruntukkan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan, jika sbait kesalahan.
Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat pada hari sama oleh pengadu yang menyatakan tertuduh memasuki rumah pengadu sekitar jam 4.10 pagi.
Tertuduh kemudian memegang tangan mangsa yang sedang tidur di ruang tamu sebelum menarik mangsa keluar dari rumah.
Pada ketika itu, tertuduh tidak berpakaian dan hanya menggunakan tuala untuk menutup muka.
Mangsa telah menjerit apabila mangsa sedar tertuduh telah membawa mangsa keluar rumah dan tertuduh kemudiannya telah melarikan diri.
Semasa rayuan, tertuduh meminta hukuman ringan dan dikira dari tarik beliau ditangkap.
Tertuduh berkata beliau seorang bujang, telah kematian bapa serta menanggung ibu yang menghidap gout dan abang yang mengalami strok.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Beliau turut memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam serta trauma dialami mangsa apabila tertuduh memasuki rumah mangsa pada waktu malam tanpa berpakaian dan membawanya keluar dari rumah.






