Read Time:4 Minute, 2 Second
KOTA KINABALU, 12 Okt — Ahli Parlimen Papar yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, mempersoalkan keikhlasan Parti Warisan dalam menggunakan slogan “Selamatkan Sabah” menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17, dengan menegaskan bahawa rekod pentadbiran lalu menunjukkan sebaliknya.
Beliau berkata rakyat wajar menilai semula prestasi Warisan ketika mentadbir negeri antara tahun 2018 hingga 2020 sebelum mempercayai janji baharu yang dilaungkan parti itu.
“Sebelum percaya janji baru untuk menyelamatkan Sabah, mari kita lihat semula apa yang mereka ubah semasa berkuasa. Mereka bawa slogan Sabah Ubah pada tahun 2018, tapi apa sebenarnya yang diubah dan adakah perubahan itu mempertahankan hak Sabah?” katanya dalam satu hantaran di laman facebooknya hari ini.
Isu 40 Peratus — Ukuran Sebenar Perjuangan Hak Sabah
Armizan berkata, isu pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah menjadi kayu ukur jelas untuk menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan hak negeri ini.
Katanya, hak tersebut bukan perkara baharu, malah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D, serta terkandung dalam Laporan IGC dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kali terakhir semakan kadar dibuat ialah pada tahun 1969, dan pada 1973 Sabah hanya menerima RM26.7 juta. Sejak itu tiada semakan dilakukan selama lebih 45 tahun. Jumlah itu kekal sehingga tahun 2018,” jelasnya.
Jelas Armizan lagi, selepas Warisan mengambil alih pentadbiran pada 2018, kerajaan negeri ketika itu bersetuju menaikkan kadar pemberian khas kepada hanya RM53.4 juta, seperti diumumkan dalam Belanjawan Persekutuan 2020.
“Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, menyatakan rasa syukur atas kenaikan itu. Lima hari kemudian, Kabinet Sabah pimpinan Warisan bersetuju menerimanya tanpa bantahan,” katanya.
Tambah beliau, keputusan itu turut disahkan melalui surat rasmi daripada Kementerian Kewangan Sabah kepada Kementerian Kewangan Malaysia.
“Adakah kenaikan hanya RM53.4 juta selepas 45 tahun wajar diterima begitu sahaja? Di mana kesungguhan mempertahankan hak Sabah?” soal beliau.
GRS Batalkan Persetujuan dan Runding Semula
Armizan menjelaskan bahawa apabila GRS mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2020, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor segera membatalkan persetujuan Warisan terhadap kadar tersebut melalui surat rasmi bertarikh 7 Disember 2020.
“Langkah itu diambil kerana jumlah yang dipersetujui Warisan dianggap tidak munasabah. GRS kemudiannya memulakan rundingan semula dengan Kerajaan Persekutuan berasaskan semangat MA63,” katanya.
Hasil rundingan baharu itu, kadar pemberian khas dinaikkan kepada RM125.6 juta pada tahun 2022, dengan syarat bahawa persetujuan itu bersifat sementara (interim) dan tidak menjejaskan hak Sabah untuk menuntut kadar penuh 40 peratus.
Kadar Naik ke RM600 Juta — Bukti Komitmen GRS dan Kerajaan Madani
Menurut Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata selepas pembentukan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, rundingan diteruskan bagi menaikkan kadar interim tersebut.
“Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap urus setia MA63, saya bersama Ketua Menteri terus mendesak agar kadar interim disemak semula,” jelasnya.
Hasilnya, kadar pemberian khas kepada Sabah meningkat secara berperingkat seperti berikut:
- RM125.6 juta (2022)
- RM300 juta (2023)
- RM306 juta (2024)
- RM600 juta (2025)
“Syukur Alhamdulillah, jumlah RM600 juta telah pun dimasukkan ke akaun Kerajaan Negeri pada bulan September lalu. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen yang tinggi terhadap Sabah,” katanya.
Manfaat Hasil Untuk Rakyat
Armizan berkata, hasil tambahan daripada kenaikan pemberian khas itu digunakan bagi melaksanakan program kebajikan rakyat, termasuk Program Rumah Mesra SMJ dan Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat (BSKR).
“Kita bukan sekadar bercakap soal hak, tetapi memastikan hasil yang diperoleh benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di bawah,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa perbandingan mudah dapat dibuat melalui rekod sebenar kerajaan.
“BN biarkan kadar RM26.7 juta tanpa semakan selama 45 tahun. Warisan pula bersetuju dengan RM53.4 juta. Tetapi GRS berjaya membawa kadar itu meningkat kepada RM600 juta. Inilah hasil, bukan retorik,” katanya.
Sementara itu, Armizan turut mencabar kepimpinan Warisan menjelaskan keputusan Kabinet Sabah pada 2019 yang menerima kadar RM53.4 juta itu.
“Saya pernah tanya, tapi tidak dijawab. Kalau Warisan tidak mahu jawab, mungkin Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, yang ketika itu Timbalan Ketua Menteri, boleh jelaskan asas mereka bersetuju dengan jumlah serendah itu,” katanya.
Tambah beliau lagi, dirinya bukanlah pakar perundangan, namun saya merupakan graduan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) walaupun tidak pernah mengaku sebagai peguam.
Saya juga lulusan Sarjana Sains Sosial dalam bidang Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan projek penyelidikan yang memfokuskan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Saya tidak memahami MA63 hanya melalui ucapan-ucapan politik, sebaliknya saya menelaah secara mendalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri Sabah, Akta Malaysia, laporan Suruhanjaya Cobbold serta dokumen IGC satu per satu katanya.
“Kita Jaga Sabah” — Bukan Sekadar Slogan
Menurut Armizan, perjuangan mempertahankan hak Sabah tidak diukur melalui suara lantang atau slogan politik, tetapi hasil nyata yang dirasai rakyat.
“Ini bezanya antara retorik dan keputusan. Warisan kata selamatkan Sabah, tapi hakikatnya kita yang menyelamatkan Sabah daripada Warisan,” tegasnya.
“Jawapan saya mudah — kita jaga Sabah. Rumah kita, kita jaga.”