Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Liga Super : Sabah FC tewas 1-6 kepada JDT di Likas

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC menerima tamparan hebat di laman sendiri apabila tewas 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Likas, malam ini.

Kekalahan besar itu menyaksikan skuad Sang Badak terus bergelut di kelompok bawahan liga dengan kekal di tangga ke-11 selepas hanya mengumpul 14 mata, manakala JDT terus gah di persada liga dengan 51 mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Sabah bermula baik dengan beberapa percubaan awal, namun momentum berubah seawal minit kelima apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat susulan kekasaran Dane Ingham yang disahkan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Penyerang import JDT dari Brazil, Bergson Da Silva, tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan tersebut pada minit ketujuh untuk meletakkan pelawat di hadapan.

Gol itu membuka ruang kepada dominasi JDT apabila Ajdin Mujagic menggandakan kedudukan pada minit ke-20 sebelum Oscar Arribas menambah jaringan empat minit kemudian.

Mujagic sekali lagi menemui sentuhan berbisa pada minit ke-38 bagi memastikan Sabah ketinggalan 0-4 menjelang rehat.

Memasuki babak kedua, JDT terus menghukum kealpaan benteng tuan rumah menerusi jaringan Manuel Hidalgo sebelum Arribas melengkapkan gol kedua peribadi untuk menjadikan kedudukan 6-0.

Sabah akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-87 hasil rembatan deras penyerang import dari Perancis, Chris Marlon Ondong-Mba, namun jaringan itu sekadar gol sagu hati.

Kekalahan ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah perlu segera memperkemaskan barisan pertahanan dan meningkatkan konsistensi jika mahu keluar daripada zon bawahan liga, tatkala saingan musim semakin menghampiri penghujung.

LEAVE A RESPONSE