Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Mangsa banjir Paitan mohon bantuan, sumbangan segera diperlukan

Read Time:1 Minute, 7 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Usaha mengumpul sumbangan kini digerakkan bagi membantu penduduk di Kampung Lubang Buaya, Paitan yang terjejas teruk akibat banjir.

Menurut salah seorang penduduk, Sunita Rahman, walaupun usaha kerajaan sedang dijalankan untuk menyalurkan bantuan, ia mengambil masa kerana hampir seluruh kawasan Paitan turut terjejas.

“Ramai warga Paitan kini sangat memerlukan bantuan segera. Ada yang kehilangan rumah, bekalan makanan tidak mencukupi, malah ada yang hilang segalanya. Buat masa ini, mereka hanya mampu berdoa dan berharap ada insan yang sudi membantu meringankan beban.

“Terutamanya di Kampung Lubang Buaya, yang masih belum menerima bantuan bakul makanan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan bahawa keperluan mendesak ketika ini termasuk bakul makanan, bekalan air bersih, pakaian, tilam dan bantal, peralatan sekolah, selimut, serta wang tunai.

Sunita turut menyeru orang ramai untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga-keluarga yang terjejas.

“Kami akan mengumpulkan sumbangan di Jalan Togop – Putatan Ramayah sebelum dihantar ke Kampung Lubang Buaya.

“Kami juga memerlukan bantuan pengangkutan untuk memasuki kampung tersebut kerana keadaan jalan yang kurang baik dan tidak semua kenderaan mampu melaluinya,” katanya.

Tambahnya, walaupun cabaran besar, mereka tetap berusaha membantu mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan.

“Semoga setiap kebaikan yang dihulurkan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Sunita Rahman di 019-882 5430.

LEAVE A RESPONSE