Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU : Pengumuman pembinaan 38 buah sekolah baharu di seluruh negara oleh menerusi Belanjawan 2026 disambut baik rakyat Sabah, terutamanya dengan peruntukan tiga buah sekolah baharu bagi negeri Sabah.
Tiga sekolah yang disenaraikan bakal dibina di Sabah adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Apas Jaya Tawau; SK Sabandar, Tuaran dan SK Alam Mesra, Kota Kinabalu.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pengumuman itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan penyediaan kemudahan pendidikan yang mencukupi dan kondusif.
Katanya, penyediaan kemudahan itu amat diperlukan khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan sekolah sedia ada yang sesak.
“Pembinaan sekolah-sekolah baharu ini dijangka akan mengurangkan masalah kesesakan pelajar di sekolah-sekolah berdekatan, memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, dan meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak di Tawau, Tuaran, dan Kota Kinabalu.
“Selain daripada pembinaan sekolah baharu, Kerajaan juga mengumumkan peruntukan hampir RM2 bilion bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif terutamanya di Sabah dan Sarawak, menunjukkan keseriusan dalam menangani isu prasarana sekolah di kedua-dua negeri ini.

“PIBKS khususnya menzahirkan rasa syukur dan berharap agar projek pembinaan tiga sekolah ini dapat disegerakan dan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan demi manfaat bersama generasi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Karnival Tahunan SK Mutiara di sini pada Sabtu.
Mengenai penganjuran karnival di Sk Mutiara, Arif berkata, program itu menjadi platform strategik untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah.
Katanya, karnival ini bukan sekadar acara sosial, tetapi satu inisiatif proaktif yang menyasarkan pembinaan ekosistem pembelajaran yang lebih holistik, kondusif dan mampan.
“Melalui interaksi terancang antara ibu bapa dan pendidik, usaha ini menyasarkan penyelarasan matlamat pendidikan, pembentukan nilai murni, dan pembangunan sahsiah murid secara menyeluruh,” katanya. – SABAH MEDIA