KINABATANGAN: Tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkalan Bukit Garam dekat sini, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan pada jam 10.08 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan tiba di lokasi pada jam 10.21 malam.
Ketua BBP Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, enam rumah terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 20 peratus. Turut musnah sebuah kenderaan Toyota Hilux.
“Seramai 17 anggota diketuai PBK I Mohamud Punya menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air dari jentera, pili bomba dan sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan seorang anggota Pasukan Bomba Bantuan berusia 24 tahun cedera ringan selepas terpijak paku ketika operasi memadam api dan telah menerima rawatan di hospital.
Pasukan bomba turut menyelamatkan 10 rumah berhampiran daripada terbakar.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.20 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.40 pagi.






