Read Time:1 Minute, 32 Second
KOTA KINABALU : Seramai 62 pelajar tahun kedua Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai lawatan tapak ke Sandakan bagi mendapatkan pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar serta amalan pembinaan jalan raya dan lebuh raya.
Lawatan tersebut melibatkan dua projek infrastruktur utama, iaitu Projek Naik Taraf Jalan Kampung Muhibbah–Kampung Sungai Daling dan Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Pakej M32 hingga Moynod di Batu 32.
Program diketuai oleh Sr. Ts. Br. Dr. Asmawan Mohd Sarman dan Ts. Dr. Elis Mardzianah Mazlan di bawah kursus KA21102 Kontrak dan Anggaran, dengan sokongan rakan industri.
Menurut Asmawan, lawatan berkenaan merupakan satu inisiatif untuk memperkukuh pemahaman pelajar terhadap amalan kejuruteraan awam di lapangan.

“Lawatan ini dapat membantu pelajar memahami pengurusan kontrak, anggaran kos serta pelaksanaan projek dalam situasi pembinaan sebenar.
“Ia juga mampu meningkatkan motivasi mereka untuk membuat persediaan menghadapi cabaran profesional pada masa hadapan,” katanya.
Di tapak pertama, pelajar menghadiri taklimat keselamatan sebelum membuat pemerhatian terhadap jajaran jalan yang telah dinaik taraf.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Tenom Quarry Sdn. Bhd. bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kaedah pembinaan jalan raya selain menekankan kepentingan pematuhan prosedur keselamatan di tapak pembinaan.
Lawatan diteruskan di tapak pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, pelajar menerima taklimat projek daripada Pengurus Pembinaan HSS Integrated Sdn. Bhd. bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta perunding Kinta Samudra Sdn. Bhd.
Pelajar turut didedahkan kepada kerja pembinaan di Seksyen 2 termasuk demonstrasi ujian probe serta penerangan mengenai pembinaan pile cap di Jambatan Sungai Monyet.
Sepanjang lawatan, pelajar mempelajari pelbagai aspek penting dalam bidang kejuruteraan awam termasuk kerja jajaran jalan, prosedur keselamatan, kaedah penyiasatan tanah serta pembinaan asas jambatan.
Mereka juga didedahkan kepada pelaksanaan pemeriksaan tapak, kawalan kualiti dan susunan kerja pembinaan dalam projek infrastruktur berskala besar.
Program tersebut turut memberi peluang kepada pelajar bertemu alumni Kejuruteraan Awam UMS yang kini berkhidmat dalam industri pembinaan.






