Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Kerjasama strategik Hospital Keningau–PDRM, perkukuh pengurusan kes libat kepentingan awam

Read Time:1 Minute, 29 Second

KENINGAU: Hospital Keningau memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Keningau menerusi Mesyuarat Koordinasi khas yang diadakan hari ini, sebagai langkah proaktif memperkemas pengurusan kes membabitkan aspek keselamatan, perubatan dan perundangan demi kepentingan awam.

Mesyuarat di Bilik Mesyuarat Hospital Keningau itu dipengerusikan Pengarah Hospital Keningau, Dr Ridwan Hashim, manakala PDRM Keningau diketuai Ketua Polis Daerah, Superintenden Yampil anak Garai.

Menurut kenyataan Hospital Keningau hari ini, pertemuan berkenaan bertujuan meningkatkan sinergi dan penyelarasan operasi dalam pengurusan klien yang melibatkan kedua-dua agensi, khususnya dalam memastikan setiap prosedur dilaksanakan secara teratur, cekap dan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pengurusan barang yang disyaki atau disahkan sebagai barang terlarang, termasuk tatacara serahan, penyimpanan dan dokumentasi supaya dilaksanakan dengan jelas serta berintegriti.

Selain itu, aspek pengurusan kes forensik turut diberi perhatian dengan penekanan kepada penyelarasan prosedur pemeriksaan, pengumpulan bahan bukti dan rujukan kes antara hospital serta pihak polis bagi menjamin ketelusan dan ketepatan proses siasatan.

Mesyuarat turut menyentuh pelaksanaan serta kefahaman Kod Kecemasan Hospital Keningau, khususnya dalam situasi yang memerlukan tindakan bersama kedua-dua agensi bagi memastikan respons yang pantas dan berkesan.

Dalam pada itu, pengurusan kes di bawah One Stop Crisis Centre (OSCC) membabitkan mangsa penderaan atau keganasan turut dibincangkan, dengan penekanan terhadap perlindungan, kebajikan dan keadilan kepada mangsa.

Isu pengurusan kes buli dan jenayah termasuk tatacara pelaporan serta tindakan susulan juga menjadi agenda penting, selain penambahbaikan dalam penyediaan laporan perubatan supaya lengkap, tepat dan memenuhi keperluan perundangan.

Melalui mesyuarat berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus memperkukuh komunikasi, memperkemas prosedur kerja serta meningkatkan profesionalisme dalam pengendalian kes yang melibatkan kepentingan masyarakat.

Hospital Keningau dan PDRM Keningau menegaskan komitmen untuk meneruskan kerjasama berterusan bagi memastikan pengurusan klien berjalan lancar, selamat dan berkesan selaras dengan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kesejahteraan serta keselamatan awam.

LEAVE A RESPONSE