Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

‘Semporna pun tidak terurus’, Shafie dikritik sibuk berpolitik

Read Time:1 Minute, 51 Second

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Steven Chaw Kam Foon, mengkritik Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerana didakwa  lebih sibuk mengejar kuasa politik berbanding menangani krisis pembuangan sampah di Semporna.

Beliau berkata, masalah sampah di Semporna telah berlarutan sejak sekian lama, bahkan ketika Shafie memegang jawatan Ketua Menteri, kawasan itu masih dilabel sebagai antara “dirtiest tourist towns” di Sabah.

“Keadaan jalan yang dipenuhi sampah dan bau busuk bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup penduduk, malah menodai imej Semporna sebagai destinasi pelancongan antarabangsa,” katanya.

Chaw berkata, sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Semporna, Shafie seharusnya paling memahami keadaan sebenar rakyat di kawasannya, namun dilihat lebih menumpukan perhatian terhadap isu pertukaran kerajaan dan kuasa politik.

“Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin hampir, Shafie sibuk mempromosikan pelan dasar dan visinya, tetapi gagal menangani masalah asas kebersihan dan pengurusan sampah di kawasannya. Ini jelas menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap isu kebajikan rakyat,” katanya.

Menurut Chaw, sistem pengurusan sisa pepejal di Sabah berbeza dengan di Semenanjung Malaysia kerana negeri itu tidak tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan tidak diuruskan oleh agensi persekutuan seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) atau SWCorp.

“Di Semenanjung, pengurusan sisa dikendalikan kerajaan pusat menerusi kontraktor seperti Alam Flora, Indah Water dan E-Idaman, manakala di Sabah, tanggungjawab ini terletak di bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

“Sebagai contoh di Semporna, kutipan dan pelupusan sampah adalah tanggungjawab Majlis Daerah Semporna, manakala dasar dan pelaksanaannya di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah. Ini bermakna wakil rakyat seperti Shafie sepatutnya perlu aktif menyelaras dan memantau operasi tempatan, bukannya melepaskan tanggungjawab,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab utama ahli politik ialah menyelesaikan masalah harian rakyat, bukan terperangkap dalam perebutan kuasa.

“Masalah sampah di Semporna bukan isu baharu, tetapi tanda kelemahan tadbir urus tempatan dan sikap tidak peduli terhadap kebersihan awam. Jika Shafie tidak mampu memastikan kebersihan di kawasannya sendiri, bagaimana beliau mahu mentadbir seluruh Sabah?” soalnya.

Chaw turut menyeru semua Ahli Parlimen untuk mencontohi pendekatan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan mengambil langkah konkrit dalam menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan isu kebersihan dan pengurusan sisa agar rakyat menikmati persekitaran yang bersih dan selesa. 

LEAVE A RESPONSE