Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Durian merah berpotensi jadi produk makanan dan agropelancongan baharu Sabah


Read Time:1 Minute, 34 Second

TONGOD: Durian merah bukan sahaja buah eksotik tropika yang berkhasiat, malah berpotensi diketengahkan sebagai produk makanan baharu bernilai tinggi serta pemangkin agropelancongan di Sabah.

Durian merah

Keunikan buah itu mendorong Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menjalankan kajian berasaskan teknologi baharu bagi pembangunan varieti benih durian merah.

Beliau berkata, penggunaan teknologi agronomi moden diyakini mampu menghasilkan bibit bermutu tinggi dengan ciri pokok lebih rendah dan rendang berbanding tanaman tradisional sedia ada, sekali gus memudahkan pengurusan ladang dan proses penuaian.

Menurutnya, kelazatan isi durian merah bukan sahaja menjadi makanan tradisi masyarakat Orang Sungai di Tongod, Kinabatangan, Telupid dan Beluran, malah turut mendapat sambutan dalam kalangan pencinta makanan eksotik di Sabah dan Sarawak.

Kebiasaannya, isi durian merah ditumis bersama sedikit perisa untuk dijadikan sambal, yang menjadi antara menu paling popular di daerah utara Sabah, selain berpotensi menembusi pasaran makanan di peringkat Asia.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO bertaraf menteri menggesa MAFFI agar menjalankan kajian cantuman agronomi baharu bagi menghasilkan varieti yang lebih praktikal untuk dikomersialkan serta dipromosikan sebagai tanaman domestik dalam industri pertanian Sabah.

Beliau yakin Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar yang berpengalaman luas dalam industri pertanian berasaskan durian mampu mengetengahkan durian merah sebagai tanaman hala tuju moden negeri ini.

Katanya, sekiranya durian merah diangkat sebagai tanaman utama, pengeluaran buah eksotik itu dapat dipertingkatkan sekali gus meluaskan pasaran serta meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.

Masiung menjelaskan, tanaman warisan yang menjadi kegemaran tradisi masyarakat Sungai di empat daerah utara Sabah itu bersifat bermusim dan mempunyai keunikan tersendiri kerana buahnya tidak akan luruh walaupun telah matang.

Pokok durian merah yang bersaiz besar dan tinggi pula memerlukan khidmat individu mahir untuk memanjat bagi tujuan penuaian.

Dengan rasa lemak manis, kandungan gula yang rendah serta hasil tinggi sehingga 200 biji sepokok, durian merah dilihat berpotensi besar untuk dimajukan sebagai produk agropelancongan baharu yang unik dan berdaya saing di Sabah.

LEAVE A RESPONSE