Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Program dan aktiviti sempena ulang tahun DBKK jadi tarikan TMM2026

Read Time:3 Minute, 28 Second

LAPORAN KHAS
Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Penganjuran pelbagai program dan aktiviti sempena sambutan ulang tahun Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ke-26 sepanjang tahun ini akan diselaraskan dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sekali gus memperkukuh sektor pelancongan negeri Sabah.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pelaksanaan aktiviti berterusan itu dijangka mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke bandar raya Kota Kinabalu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan aspirasi menjadikan bandar tersebut sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

“Program yang kita rancang sepanjang tahun ini bukan hanya digerakkan oleh DBKK semata-mata, sebaliknya dilaksanakan secara bersama dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bagi memastikan impak yang lebih menyeluruh.

Dr Sabin ketika melihat salah satu kenderaan yang menyertai KK City Day Car Show

“Harapan kami adalah agar aktiviti ini dapat dilaksanakan sepanjang tahun kerana sambutan TMM memerlukan pengisian program yang konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan gimik pelancaran KK City Strongman dan Car Show 2026 di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini pada Sabtu.

Seorang pemilik kenderaan antik Volkwagen yang menyertai KK City Day Car Show

Sabin berkata, pelbagai program menarik akan disusun dan dilaksanakan secara berkala, dengan sasaran penganjuran aktiviti setiap minggu dan setiap bulan, merangkumi acara kebudayaan, seni, sukan, komuniti serta pelancongan bandar.

KK CITY STRONGMAN DAN CAR SHOW 2026

Mengulas mengenai penganjuran KK City Strongman dan Car Show 2026, Sabin berkata, program berkenaan berjaya menarik penyertaan peserta bukan hanya dari Sabah namun turut disertai dari seluruh negara.

Katanya, pertandingan strongman berjaya menerima penyertaan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Antara peserta Strongman yang menarik beban lori DBKK

“Kita dapat saksikan penyertaan peserta dari pelbagai negeri khususnya dalam aktiviti strongman, manakala pameran kereta pada tahun ini menampilkan kereta-kereta yang diubah suai dan bernilai tinggi, termasuk kumpulan Volkswagen.

“Sudah tentu, saya berharap agar pameran seperti ini dapat memberi peluang kepada penduduk Kota Kinabalu melihat variasi kereta serta kebolehan pemilik kereta dalam pengubahsuaian,” katanya.

Antara kereta lamborghini yang turut serta pada pameran kereta

Selain penganjuran KK City Strongman dan Car Show 2026, Sabin berkata, beberapa program lain turut dijadual akan diadakan termasuklah membersihkan kawasan sekolah dan kampung serta beberapa aktiviti lain.

Beliau mengakui sambutan tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu, dengan kehadiran ramai pengunjung yang datang untuk bersantai dan membawa keluarga, terutamanya pada hujung minggu.

ENAM KATEGORI KK CITY STRONGMAN DIPERTANDINGKAN

KKCity Strongman yang memasuki edisi kelima penganjuran khusus bagi ulang tahun ke-26 bandar raya Kota Kinabalu itu menampilkan enam kategori iaitu Duck Walk; Tyre Flip; Farmers Walk; Truck Full; Stone Over The Bar dan Car Deadlift.

Ketua Penyelaras KK City Strongman dan Car Show, Aderen Yagang berkata, setiap peserta diberikan masa 1 minit 30 saat untuk menamatkan jarak 20 hingga 40 meter bagi setiap kategori.

Ketua Penyelaras KK City Strongman dan Car Show, Aderen Yagang

Katanya, pertandingan itu disertai seramai 16 peserta, termasuk lima dari Sarawak, satu dari Kuala Lumpur, dan selebihnya dari Sabah.

Beliau berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua namun pemenang bagi edisi sebelum ini tidak dibenarkan bertanding bagi memberi peluang kepada peserta baru.

Kereta GTR Skyline turut serta dalam pameran kenderaan

“Pada tahun ini, hadiah bagi pemenang utama dinaikkan kepada RM1,500 berserta piala dan sijil, manakala tempat kedua menerima RM1,000.

“Sudah tentu saya berharap acara ini dapat menjadi platform kepada peserta untuk terus maju ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Antara kenderaan yang turut serta pada pameran itu

KKCITY DAY CAR SHOW PAMER VARIASI BAHARU

Sementara itu, Aderen  berkata, KK City Day Car Show yang dikendalikan oleh Curl Event Management menampilkan 19 kategori kereta dengan lebih 30 penyertaan.

Katanya, pada tahun ini, pihak penganjur menampilkan variasi baharu termasuk memperkenalkan kategori khas dalam pameran kereta yang dipilih sendiri oleh Datuk Bandar dan isteri.

“Tahun ini ada dua kategori iaitu Best Mayor’s Pick dan Best Mayor’s Wife Pick diperkenalkan  mana kedua-duanya akan memilih satu kereta kegemaran masing-masing secara rawak selepas membuat pemerhatian di tapak pameran.

“Tahun ini juga, penganjur menampilkan pelbagai jenis kenderaan termasuk kereta sport, kereta tempatan, dan kereta klasik seperti Volkswagen,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE