Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

DBKK perketat agihan lot bazar Ramadan, elak berlaku monopoli pihak tertentu

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi jaminan proses pengagihan lot bazar Ramadan sekitar bandaraya Kota Kinabalu tahun ini akan dilaksanakan secara telus dan adil.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, ia bagi mengelakkan sebarang unsur kartel atau monopoli pihak tertentu dalam pengurusan pengagihan lot bazar Ramadan.

Katanya, DBKK pada tahun ini akan menambah satu kawasan baharu menjadikan kawasan niaga lebih panjang berbanding tahun lalu,  namun Padang Merdeka tidak akan digunakan sebagai lokasi bazar Ramadan pada tahun ini.

“Lokasi lain masih sama, cuma konsepnya ditambah baik.  Manakala satu kawasan baharu ditambah menjadikan lokasi jualan lebih panjang.

“Bagi memastikan tiada kartel wujud, semua peniaga diwajibkan memohon lot melalui aplikasi GONET yang akan dibuka mulai minggu hadapan.

“Kriteria jelas. Satu MyKad,satu telefon, satu permohonan sahaja. Sistem akan membuat tapisan dan pemeriksaan secara automatik bagi mengelakkan penyalahgunaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Pesta Selera 2026 Sempena Ulang Tahun ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu di pekarangan Bangunan DBKK, di sini pada Jumaat.

Sabin berkata, walaupun tiada kartel besar dikenal pasti sebelum ini, DBKK menyedari kemungkinan wujud kartel kecil yang mengawal pembahagian lot secara tidak rasmi.

“Sebab itu tahun ini kita perketatkan sistem supaya semua orang ada peluang yang sama. Kita mahu peniaga yang benar-benar berniaga, bukan orang tengah atau yang hanya pegang lot,” tegasnya.

Tambah beliau, DBKK juga akan menjalankan pemantauan di tapak bazar dan tidak teragak-agak membatalkan lot sekiranya didapati pemegang permit tidak berniaga sendiri.

Dalam pada itu, Sabin berkata, orang awam dan peniaga dialu-alukan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan khususnya melibatkan Bazar Ramadan kepada DBKK melalui WhatsApp, emel atau saluran aduan rasmi sebelum permohonan dibuka.

“Kita terbuka kepada pandangan. Matlamat kita mudah, beri peluang secara adil dan pastikan bazar Ramadan benar-benar memberi manfaat kepada peniaga kecil,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE