Read Time:1 Minute, 10 Second
KOTA KINABALU: Sebanyak 15 buah hotel terkemuka akan menyediakan reruai hidangan makanan sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadual berlangsung pada 17 Februari ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, sambutan yang bermula jam 10 pagi itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, penganjuran sambutan peringkat negeri itu mencerminkan kesepaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah yang sentiasa bersama-sama meraikan kepelbagaian perayaan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

“Ini adalah prinsip yang menjadi asas kepada kerajaan negeri bagi memastikan semua rakyat berbilang kaum, bangsa, agama dan budaya dapat bersama-sama meraikan perayaan, termasuk Sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di sini, pada Khamis.
Jafry yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan memaklumkan Tun Musa Aman turut dijadual hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan sambutan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah itu.
“Saya mengharapkan orang ramai mengambil peluang untuk bersama-sama meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sabah 2026.
“Pelbagai acara kebudayaan akan dipersembahkan sepanjang program termasuk tarian singa, persembahan kebudayaan masyarakat Tionghua serta penampilan artis jemputan,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai.






