Belanjawan 2026: Persekutuan salur peruntukan tambahan untuk projek babit kemudahan asas di Sabah sebagai bukti keprihatinan – PM
Read Time:1 Minute, 25 Second
Oleh Rhea Dharmin
KUALA LUMPUR: Keprihatinan kerajaan Persekutuan kepada negeri Sabah dizahirkan menerusi penyaluran peruntukan tambahan bagi pelaksanaan projek membabitkan kemudahan asas khususnya bekalan elektrik, air dan digitalisasi.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion kepada Sabah bagi menjamin kelangsungan bekalan berikutan pihaknya telah menyerahkan kawal selia bekalan elektrik kepada negeri itu sejak bulan Januari tahun lepas.
“Kendatipun kawal selia bekalan elektrik diserah sepenuhnya kepada Sabah Januari tahun lalu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk menjamin kelangsungan bekalan.
“Insiden tanah runtuh di Penampang telah memutuskan dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi—mengakibatkan gangguan bekalan kepada 230,000 pengguna pantai timur Sabah. Langkah segera diambil bagi memulih bekalan. Untuk kelangsungan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan 765 juta ringgit bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link.
“Sejak 2024, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM 1 bilion untuk projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. Projek ini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan,”katanya,
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertempat di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut berkata bagi memastikan semua negeri termasuk Sabah menikmati manfaat digital sepenuhnya, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
“Untuk memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung menikmati manfaat digital yang sebaiknya, Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang 3,190 kilometer dengan kos 2 bilion ringgit.
“Ini melibatkan laluan dasar laut dari Sedili di Johor, ke Kuching dan Sibu di Sarawak; seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah,” katanya.