Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Hospital Ranau dicadang dinaik taraf kepada Hospital Pakar Minor


Read Time:1 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Perancangan menaik taraf Hospital Ranau kepada status Hospital Pakar Minor dijangka meningkatkan tahap perkhidmatan perubatan serta kualiti rawatan kepada penduduk daerah Ranau dan kawasan sekitarnya.

Cadangan naik taraf itu dibentangkan oleh pihak pengurusan Hospital Ranau kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, dalam satu kunjungan hormat yang diketuai Pengarah Hospital Ranau, Dr Roniyuzam Abdul Malek.

Taklimat yang disampaikan Dr Roniyuzam itu, antara lain memberi fokus utama kepada perancangan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan perubatan melalui penambahan fasiliti klinikal, penyediaan mesin imbasan (scan) terkini serta penambahbaikan kemudahan rawatan bagi keselesaan pesakit.

Perancangan itu turut melibatkan pembinaan bangunan baharu di kawasan sedia ada hospital yang akan menempatkan wad pesakit, unit diagnostik dan pengimejan perubatan, ruang rawatan klinikal serta kemudahan sokongan perubatan yang lebih lengkap bagi memenuhi keperluan rawatan semasa.

Langkah tersebut dijangka membolehkan lebih banyak perkhidmatan rawatan disediakan di peringkat daerah, sekali gus mengurangkan keperluan pesakit dirujuk ke hospital di luar kawasan serta mempercepat proses rawatan.

Masidi menyambut baik cadangan berkenaan dan menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus memperkukuh perkhidmatan perubatan awam selaras dengan keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau turut mengingatkan warga hospital agar sentiasa mengutamakan kualiti perkhidmatan, memastikan setiap pesakit menerima rawatan yang mesra, profesional dan beretika, selari dengan usaha meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap sistem kesihatan negeri.

LEAVE A RESPONSE