Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Banjir kilat jejas beberapa laluan utama di Lahad Datu


Read Time:1 Minute, 8 Second

LAHAD DATU: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan pada Rabu, sekali gus menjejaskan beberapa laluan utama di sekitar bandar dan kawasan berhampiran.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, antara jalan yang terlibat ialah Jalan Tengah Nipah, Jalan Kampung Jawa, Jalan Segama serta Jalan Sandakan–Tawau berhampiran IOI Office.

Menurut kenyataan itu, Jalan Tengah Nipah, Jalan Kampung Jawa dan Jalan Segama masih boleh dilalui oleh semua kenderaan dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang telah dikenal pasti bagi mengelakkan kawasan dinaiki air.

Antara laluan alternatif yang dicadangkan ialah Jalan Bypass, Jalan Sunoh Marso dan Jalan Tamoi Baru.

Sementara itu, Jalan Sandakan–Tawau di lokasi IOI Office (CH119.40 hingga CH120.200) dilaporkan tidak boleh dilalui berikutan paras air yang tinggi dan arus deras.

Ini sekali gus memaksa penutupan sementara laluan tersebut.

JKR turut memaklumkan tiada laluan alternatif disediakan bagi kawasan berkenaan setakat ini.

Sebagai langkah keselamatan, JKR telah melaksanakan tindakan sementara termasuk pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di lokasi-lokasi terjejas bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengelakkan melalui jalan yang dinaiki air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

JKR Sabah turut memaklumkan bahawa status jalan akan dikemas kini dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air semasa. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE