Read Time:1 Minute, 27 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Pemodenan cara kerja serta penyampaian perkhidmatan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) termasuk menggunakan perkhidmatan secara dalam talian dan penambahbaikan digital berupaya meningkatkan kecekapan dan kemudahan kepada rakyat.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, antaranya pelaksanaan dengan meluas Sabah Smart Parking (SSP) selain penawaran perkhidmatan melalui sistem dengan lebih meluas.
Beliau berkata, DBKK juga kini sedang melaksanakan pembangunan Enterprise Architecture DBKK dengan bantuan Univeristi Malaysia Sabah (UMS).
“Manfaat dengan pelan induk EA adalah DBKK ke arah organisasi berprestasi tinggi, dimana perancangan ICT selari dengan misi DBKK, melalui pewujudan satu sumber Kebenaran.

“Pendekatan ini membolehkan keputusan lebih pantas dan tepat, apabila Pengurus Tertinggi DBKK mempunyai akses kepada data bersepadu untuk membuat keputusan berasaskan bukti.
“Selain itu, pelaksanaan ini turut membawa kepada penjimatan kos jangka panjang dengan mengelak pembelian berlebihan, memanfaatkan semua teknologi sedia ada, dan mengurangkan kos integrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ulang tahun bandaraya Kota Kinabalu ke-26 di perkarangan ibu pejabat DBKK di sini pada Isnin.
Majlis disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Sabin berkata, asas digital yang kukuh akan dapat memastikan Inovasi perkhidmatan rakyat dipercepatkan selain perkhidmatan baharu dapat dilancarkan dengan lebih pantas dan lancar.
“Pendekatan ini selari dengan hala tuju Bandaraya Pintar sebagai teras transformasi pengurusan bandar.
“Sebagai makluman DBKK telahpun mendapat pengiktirafan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan Malaysia mencapai status Early Adaptor dalam Penarafan Bandar Pintar Malaysia.
“Kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diperkukuh bagi menyokong infrastruktur digital dan keterhubungan bandar,” katanya.
Menurutnya lagi, inisiatif pencahayaan bandar berasaskan kecekapan tenaga, pengukuhan keselamatan siber serta penggunaan teknologi pintar terus diberi perhatian bagi memastikan sistem bandar yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan. – SABAH MEDIA






