Read Time:1 Minute, 24 Second
PUTATAN: Usaha berterusan kerajaan dalam menyokong pembangunan sukan tarik tali mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, sokongan tersebut juga dapat membimbing generasi pelapis serta meningkatkan mutu sukan tarik tali di Sabah ke peringkat lebih tinggi.
“Saya percaya sokongan ini memberikan motivasi kepada penggemar sukan tarik tali dan berpotensi mengangkat arena tarik tali Sabah ke peringkat antarabangsa.
“Sehubungan itu, saya berharap program sukan tarik tali dapat diperluas dari peringkat akar umbi hingga ke tahap profesional, dengan pelbagai kaedah bagi memajukan sukan ini secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Karnival Pembangunan Sukan Tarik Tali Sabah 2026 di Kompleks Belia dan Sukan (Persekutuan), Putatan, pada Ahad.
Hadir sama ialah Presiden Persatuan Tarik Tali Negeri Sabah (SATWA), Mohd Junaidi Mohd Zakaria, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.
Mengulas mengenai program itu, Shah Alfie berkata pihaknya berpuas hati dengan pelaksanaan program penganjur yang dilihat strategik untuk pembangunan sukan tarik tali di Sabah khususnya di Putatan.
“Penganjuran karnival ini tepat kerana merangkumi latihan jurulatih, pencarian bakat baharu dalam tarik tali indoor yang kini berkembang di negara ini.
“Kita berharap program ini dijadikan panduan untuk terus memajukan sukan tarik tali dan melahirkan atlet profesional serta barisan pelapis berbakat di masa hadapan,” katanya.
Antara pertandingan yang diadakan ialah tarik tali outdoor terbuka, dimana pasukan Rampbow dinobatkan juara selepas menewaskan pasukan Reborn selaku naib juara.
Pasukan Gerambeat dan Atur Terus Jadi masing-masing berkongsi tempat ketiga dalam pertandingan yang disertai pelbagai pasukan dari seluruh Sabah.
Bagi pertandingan tarik tali indoor pula, juara dimenangi oleh pasukan Panther I, naib johan Panther II, manakala tempat ketiga dikongsi oleh Orca dan TOT.







