Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Aktiviti riadah satukan komuniti, cetus idea ekonomi baharu – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 9 Second

PUTATAN : Aktiviti riadah di peringkat komuniti bukan sahaja berupaya mengukuhkan perpaduan masyarakat setempat, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada penjanaan idea ekonomi baharu berasaskan kekuatan lokaliti.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, aktiviti sedemikian mampu melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing apabila ia digerakkan secara tersusun dan berteraskan kerjasama komuniti.

Menurutnya, banyak aktiviti riadah yang dianjurkan di peringkat akar umbi memberi impak langsung kepada komuniti, termasuk membuka peluang menambah pendapatan serta memperkasa ekonomi setempat.

“Apabila perpaduan masyarakat dapat diperkukuhkan melalui aktiviti riadah, pelbagai idea kreatif akan lahir. Inilah asas kepada pembentukan ekonomi baharu yang berteraskan minat, hobi dan kekuatan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ramah mesra bersama peserta Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru, di sini baru-baru ini.

Program yang menghimpunkan kira-kira 50 peserta itu dianjurkan oleh Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru dengan kerjasama Belia Masjid Al-Khauthar Tanjung Aru, sekali gus mencerminkan peranan aktif belia dalam memperkasa aktiviti kemasyarakatan.

Mengulas lanjut, Shahelmey menyifatkan program seumpama itu sebagai platform alternatif yang mampu menarik penyertaan komuniti pelbagai lapisan, termasuk peminat aktiviti memancing dan pelancong.

“Usaha yang digerakkan oleh komuniti belia di sini amat memberangsangkan dan selari dengan trend semasa yang menggabungkan minat, riadah serta peluang ekonomi.

“Lokasi strategik seperti Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru berpotensi menjadi tarikan bukan sahaja kepada kaki pancing, malah mampu menarik kehadiran pelancong pada masa hadapan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE