Read Time:1 Minute, 35 Second
KUNDASANG: Kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digesa agar terus melaksanakan amanah rakyat dengan lebih cekap, efisien dan berintegriti bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan.
Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kemenangan GRS dalam pilihan raya lalu bukan sekadar untuk diraikan, sebaliknya merupakan mandat besar yang menuntut komitmen tinggi dalam tadbir urus dan pelaksanaan dasar berpaksikan kepentingan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Makan Malam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) N.37 Karanaan bersama N.36 Kundasang dan N.38 Paginatan di sini, semalam.
Menurut Masidi yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N.37 Karanaan, kestabilan politik yang dinikmati Sabah hari ini merupakan asas penting kepada pembangunan ekonomi, peningkatan keyakinan pelabur serta kesejahteraan rakyat.
“Kestabilan ini bukan sekadar satu kenyataan, tetapi menjadi tunjang kepada keupayaan kerajaan menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan melaksanakan pembangunan secara menyeluruh di seluruh negeri,” katanya.
Masidi turut mengingatkan seluruh ahli Gagasan Rakyat bahawa setiap jawatan dan lantikan yang diberikan adalah amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, bukan untuk meraih pujian atau penghargaan peribadi.
“Setiap keputusan dan tindakan mesti sentiasa berpandukan kepentingan rakyat serta kemajuan negeri. Lantikan adalah peluang untuk memberi sumbangan nyata kepada masyarakat,” katanya.
Sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan komitmennya untuk terus memastikan suara rakyat didengar, di samping memperkukuh pembangunan infrastruktur, meningkatkan kualiti pendidikan, memperbaiki kemudahan kesihatan serta menyokong program yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.
Dalam pada itu, Masidi turut menzahirkan penghargaan kepada para pengundi yang sekali lagi memberikan kepercayaan kepadanya, sambil menegaskan amanah tersebut akan dipikul dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.
“Sokongan rakyat adalah sumber motivasi untuk saya terus berkhidmat dengan amanah, integriti dan komitmen yang tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Sabah,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh kepimpinan dan ahli parti agar terus berganding bahu memastikan kerajaan berfungsi dengan cekap demi masa depan negeri yang lebih gemilang.






