Read Time:1 Minute, 21 Second
KUALA LUMPUR : Kerajaan Persekutuan digesa memperhalusi semula pengagihan hasil petroleum negara agar lebih adil kepada Sabah, selaras dengan peruntukan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin berkata, Sabah ketika ini hanya menerima lima peratus royalti petroleum, namun jumlah tersebut tidak mencerminkan sumbangan besar negeri itu kepada industri minyak dan gas negara.
Menurut beliau, Sabah menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak mentah dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara, sekali gus memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan nasional.
“Jumlah lima peratus ini jelas tidak sepadan dengan sumbangan sebenar Sabah dalam sektor minyak dan gas,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen di Dewan Rakyat, di sini.
Riduan menegaskan, MA63 merupakan perjanjian penubuhan yang membahagikan kedaulatan, kuasa perundangan dan kawalan ekonomi antara Persekutuan dan negeri-negeri terlibat, serta mempunyai kekuatan perundangan kerana digabungkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah Perlembagaan, tanah dan sumber asli berada dalam bidang kuasa negeri sejak penubuhan Malaysia pada 1963 dan kekal sehingga kini.
“Bagi Sabah, kedudukan ini diperkukuhkan lagi melalui Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan yang menghalang undang-undang Persekutuan berkaitan perkara dalam Senarai Negeri daripada terpakai tanpa penerimaan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Dalam perbahasan sama, Riduan turut mencadangkan agar kerajaan meneroka peluang baharu bagi menambah nilai industri getah negara, khususnya dalam sektor farmaseutikal.
Beliau berkata, serum getah dikenal pasti mengandungi antara satu hingga dua peratus L-Quibrachitol, iaitu komponen yang digunakan dalam penghasilan ubat-ubatan.
“Dengan meneroka pasaran farmaseutikal, industri getah negara bukan sahaja dapat dipelbagaikan, malah berpotensi diangkat ke tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing,” katanya. – SABAH MEDIA






