Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Jalan Gaya Blok D dibuka semula 30 Januari, Joniston tinjau projek naik taraf jalan

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Jalan Gaya, Blok D dijangka dibuka semula pada 30 Januari ini selepas kerja-kerja menaik taraf permukaan jalan raya disiapkan, sekali gus membolehkan penganjuran Api-Api Night Food Market dan Tamu Minggu Gaya Street diteruskan seperti biasa.

Perkara itu dimaklumkan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Joniston Bangkuai, selepas mengadakan lawatan tapak ke Projek Menaik Taraf Permukaan Jalan Raya di Jalan Gaya, Blok D, pada Isnin (26 Jan).

Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan meninjau pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf jalan serta memastikan keadaan infrastruktur di kawasan berkenaan selamat, kemas dan kondusif untuk kegunaan orang ramai.

Joniston berkata, kerja-kerja pemangkasan pokok dan tumbuhan liar yang menjalar ke bangunan, selain pembersihan permukaan jalan, perlu dilaksanakan segera bagi mengekalkan kebersihan dan imej Jalan Gaya sebagai antara lokasi tumpuan utama di bandar raya ini.

“Penekanan perlu diberikan kepada aspek kebersihan dan keselamatan, khususnya menjelang pembukaan semula kawasan ini kepada orang ramai dan penjaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut memaklumkan, pembukaan semula Jalan Gaya, Blok D akan membolehkan seramai 18 penjaja Api-Api Night Food Market dan 61 penjaja Tamu Minggu Jalan Gaya meneruskan operasi perniagaan mereka.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Robert Lipon, serta ketua-ketua jabatan dan pegawai DBKK.

Orang ramai dan penjaja turut dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan bagi memastikan keselesaan dan kelancaran aktiviti di kawasan berkenaan.

LEAVE A RESPONSE