Read Time:3 Minute, 12 Second
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan terus memperkukuh keselamatan makanan serta tahap sara diri negeri dengan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan secara berperingkat melalui peningkatan pengeluaran tempatan.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah ini yang merupakan keutamaan strategik pertama kementerian akan memberikan tumpuan kepada pengeluaran padi dan beras, sektor ternakan seperti lembu dan ayam, selain sayur-sayuran serta perikanan bagi menjamin kestabilan harga, kesinambungan bekalan dan kebajikan rakyat.
Seiring usaha itu, beliau menegaskan keperluan meningkatkan produktiviti serta memodenkan sektor pertanian dan perikanan dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini, hari ini.
Jamawi berkata, Kerajaan Negeri menegaskan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan sebagai tonggak strategik pembangunan negeri, bukan sahaja bagi menjamin keselamatan makanan, malah untuk memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.
“Segala perancangan dan pelaksanaan kementerian itu mesti selari dengan agenda Sabah Maju Jaya serta diperkukuh melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Jamawi berkata, peralihan kepada pertanian pintar, penggunaan mekanisasi, amalan pertanian berketepatan tinggi serta pemanfaatan data, teknologi dan inovasi perlu dipercepatkan melalui kerjasama strategik dengan universiti serta institusi penyelidikan.
Mengulas penglibatan belia, beliau berkata, masa depan sektor pertanian dan perikanan Sabah amat bergantung kepada golongan muda dan sektor itu perlu diposisikan sebagai kerjaya yang berdaya maju, bermaruah serta menguntungkan.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan agropreneur belia, memperkasa perniagaan dan koperasi baharu serta menambah baik akses kepada tanah, pembiayaan dan sokongan teknikal,” katanya.
Dalam masa sama, pemerkasaan petani, nelayan dan komuniti luar bandar kekal sebagai fokus utama bagi meningkatkan pendapatan golongan sasar serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Jamawi turut menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, sistem penyampaian yang cekap serta tahap integriti yang tinggi dengan toleransi sifar terhadap ketirisan dan ketidakcekapan.
Beliau berharap semua pegawai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat negeri serta persekutuan bersikap proaktif, turun ke lapangan dan bertanggungjawab menyelesaikan isu rakyat secara tuntas.
Selain itu, kerjasama antara agensi perlu diperkukuh dengan memecahkan silo antara jabatan, agensi persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta melalui perkongsian awam-swasta.
Mengulas cabaran perubahan iklim, beliau berkata, kementerian akan menggalakkan amalan pertanian lestari, penggunaan tanaman berdaya tahan iklim serta pengurusan tanah secara bertanggungjawab.
Bagi memastikan semua inisiatif mencapai sasaran, Jamawi berkata, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas akan dilaksanakan di peringkat jabatan, agensi dan ketua program, disertai pemantauan serta pelaporan berkala.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, MAFFI akan melancarkan Inisiatif Kebun Dapur secara berstruktur di seluruh Sabah bagi menggalakkan isi rumah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mengusahakan tanaman, ternakan kecil serta perikanan skala kecil.
Inisiatif itu, katanya, mampu menjadi pemangkin kepada keterjaminan makanan, pengurangan kos sara hidup serta pembudayaan sikap berdikari dalam kalangan masyarakat akar umbi.
Beliau berkata, Inisiatif Jelajah Kebun Dapur pertama akan dilancarkan di daerah Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri bulan depan, selain dilaksanakan menggunakan pendekatan mentor-mentee bagi menarik minat generasi muda.
“Kementerian telah mengenal pasti mentor-mentor pertanian yang berkredibiliti dan akan melibatkan mereka dalam Inisiatif Jelajah Kebun Dapur.
“Melalui bimbingan secara langsung, kita berhasrat melahirkan lebih ramai agropreneur muda yang bukan sahaja mahir dari aspek teknikal, malah cekap dalam pengurusan dan pemasaran.
“Inisiatif ini akan memberikan pendedahan kepada teknologi pertanian pintar (Smart Farming), automasi, dan penggunaan Internet Benda (Internet of Things), selaras dengan agenda memodenkan sektor pertanian Sabah,” katanya.
Dalam Belanjawan 2026, MAFFI diperuntukkan RM559.85 juta, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memacu sektor pertanian demi kesejahteraan petani, penternak, nelayan dan usahawan tani.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan I dan II, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Pengurus Besar LIGS selaku pengerusi penganjur Majlis Amanat, Sabdil Tanjong dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian.






