Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Hampir 21,000 wanita Sabah jalani ujian HPV DNA percuma sejak 2019

Read Time:1 Minute, 16 Second

KUDAT : Hampir 21,000 golongan wanita di Sabah telah menjalani ujian virus papilloma manusia (HPV DNA) secara percuma sejak 2019 menerusi inisiatif yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, ujian HPV DNA adalah kaedah saringan paling berkesan untuk mengesan jangkitan HPV yang merupakan punca utama kanser serviks.

“Daripada 20,643 wanita yang disaring, 1,868 disahkan positif HPV, 33 kes pra-kanser dan dua kes kanser serviks dikesan pada peringkat awal.

“Pengesanan awal ini membolehkan rawatan segera diberikan sebelum penyakit menjadi serius, seterusnya meningkatkan peluang pemulihan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Terbuka Matunggong, di sini pada Sabtu.

Selain itu, Julita berkata, kos ujian HPV DNA di hospital swasta mencecah antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pemeriksaan dan menjadi faktor utama wanita di luar bandar menangguhkan saringan kesihatan.

“Penyediaan ujian percuma sejak 2019 bukan sahaja meringankan beban rakyat malah merapatkan jurang akses perkhidmatan kesihatan antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Di samping itu, beliau juga menyeru golongan lelaki memainkan peranan sebagai ejen sokongan dengan menggalakkan isteri, ibu dan ahli keluarga wanita menjalani pemeriksaan berkala sebagai langkah pencegahan.

Pada program tersebut, seramai 300 pengunjung memanfaatkan ujian HPV DNA, pendaftaran mamogram bersubsidi, dan saringan kesihatan percuma.

Hadir sama Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Abdul Shukur Abdullah; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong; serta Penolong Pegawai Daerah Matunggong, Tinah Marlin.

LEAVE A RESPONSE