Read Time:2 Minute, 37 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pelajar memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa dia tidak memarahi Zara Qairina Mahathir ketika menyoalnya berhubung kehilangan dompet pada malam sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Mustapha.
Peguam Azhier Farhan Arisin memaklumkan media, saksi kanak-kanak ke-10 yang memberi keterangan dalam inkues kematian Zara hari ini berkata bahawa dia hanya bertanya kepada Zara mengenai perkara itu.
“Saksi menyatakan bahawa dia tidak memarahi Zara semasa berjumpa dengan Zara yang datang ke biliknya malam itu. Dia hanya bertanya tentang kehilangan beg duit tersebut.
“Saksi menyatakan tidak nampak Zara seperti dalam gangguan emosi dan saksi juga tidak perasan sama ada Zara menangis selepas Zara berjumpa pelajar lain kerana dia tidak masuk campur urusan mereka,” kata Azhier.
Menurut Azhier, saksi memberitahu pada 15 Julai jam lebih kurang 9 malam, seorang pelajar memaklumkan kepadanya mengenai dompet yang mengandungi duit dan IC (Kad pengenalan) telah hilang, dan pada ketika itu pelajar berkenaan mengesyaki Zara yang mengambil barang dia tersebut.
“Saksi menyatakan apabila Zara datang ke biliknya, Zara menafikan mengambil barangan yang hilang.
“Saksi juga menyatakan selepas dia selesai bercakap dengan Zara dan ingin menyuruh Zara kembali ke biliknya, seorang pelajar lain masuk ke bilik tersebut diikuti dua pelajar lain yang turut bertanya kepada Zara.
“Saksi menyatakan bahawa dia ada mengatakan walaupun Zara mengaku, mereka tidak akan marah. Namun, Zara tetap menafikan perkara itu. Saksi berkata Zara kelihatan normal dan menjawab seperti biasa,” katanya sambil menambah selepas kira-kira lima minit, semua pelajar beredar ke bilik masing-masing.
Menurut Azhier, saksi juga ada menyatakan dia tidak ingat sekiranya ada sesiapa yang memarahi Zara pada masa perjumpaan tersebut dan itu adalah kali bertama saksi berjumpa dengan Zara.
“Saksi juga tidak tahu sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain kerana saksi tidak rapat dengan Zara. Saksi juga menyatakan dia tiada konflik dengan Zara dan tidak pernah nampak Zara dimarahi atau diganggu oleh pelajar lain.”
Sementara itu, peguam Joan Goh, yang turut hadir bersama Datuk Ram Singh, memaklumkan kepada media bahawa saksi kanak-kanak ke-10 memberitahu mahkamah bahawa dia meminta seorang pelajar lain memanggil Zara untuk menemuinya.
“Semasa Zara datang berjumpa saksi, saksi tanya Zara dengan berkata “Kau tau kah dompet, lC hilang?”. Zara menjawab “Tau”. Saksi tanya lagi “Kau ada curi kah barang itu”. Zara menjawab “Tiada, saya tidak ambil”.
“Kemudian saksi panggil pelajar yang hilang dompet datang lalu saksi minta Zara Wallahi dan Zara pun Wallahi tidak ambil barang pelajar tersebut. Zara berkata “dulu ja saya buat benda tu tapi sekarang saya berubah”. Selepas itu saksi pun tidak tanya lagi dan sembang dengan pelajar lain,” katanya.
Menurut Joan lagi, saksi berkenaan memaklumkan bahawa antara jam 12 malam tarikh 15 Julai sehingga 3 pagi tarikh 16 Julai, dia sedang tidur.
Joan berkata, saksi memberi keterangan bahawa dia adalah ahli kumpulan Circle 19 di sekolah.
“Saksi berkata nama kumpulan Circle Nineteen bermaksud ada 19 orang dalam kumpulan itu dan semuanya kawan rapat.
“Kawan-kawan circle 19 hanya buat aktiviti sekolah bersama kerana berkawan sejak di tingkatan 1 dan saksi menegaskan kumpulan itu tidak membuli sesiapa,” katanya.
Prosiding inkues akan bersambung Isnin nanti. – SABAH MEDIA