Read Time:1 Minute, 34 Second
TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menangguhkan pendengaran hujahan lisan bagi saman sivil berkaitan dakwaan perlombongan haram dan kerosakan alam sekitar di Sabah kepada 18 Mac depan.
Saman itu difailkan oleh Southsea Gold Sdn Bhd (SGSB) selaku plaintif terhadap Aumas Resources Berhad serta beberapa pihak lain sebagai defendan.
Keputusan penangguhan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Steve Ritikos, bagi memberi ruang kepada semua pihak terlibat memfailkan dokumen-dokumen berkaitan.
Dalam prosiding tersebut, peguam Adrian Cham daripada Messrs Asli & Cham Chambers bersama Yee Tsai Howe dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah memohon tempoh tambahan untuk memfailkan jawapan balas, selain memaklumkan niat pihak plaintif untuk mengemukakan permohonan penangguhan (stay application).
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh akhir pemfailan jawapan balas selewat-lewatnya pada 29 Januari ini, manakala hujahan bertulis hendaklah difailkan secara serentak sebelum atau pada 19 Februari. Jawapan balas kepada hujahan pula perlu difailkan selewat-lewatnya pada 5 Mac.
Saman sivil berkenaan melibatkan beberapa pihak defendan, antaranya Wullersdorf Resources Sdn Bhd, Aumas Resources Berhad (dahulunya dikenali sebagai Bavest Berhad), Taipan Super Son Bhd, Datuk Lim Nyuk San @ Freddy Lim, Chong Tzu Khen, Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah yang disaman atas kapasiti sebagai Ketua Pemeriksa Lombong, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Sabah serta Kerajaan Negeri Sabah.
Pihak defendan diwakili oleh Norbet Yapp & Associates, Messrs Asli & Cham Chambers dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, manakala Lincoln & Co mewakili Southsea Gold Sdn Bhs ( SGSB).
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa berlaku pelbagai salah laku termasuk pelanggaran kontrak, pencerobohan, kecuaian, gangguan, salah nyata penipuan, konspirasi untuk mencederakan, pengayaan tidak adil dan penukaran, yang didakwa berpunca daripada aktiviti perlombongan yang menyalahi undang-undang.
Tuntutan tersebut turut melibatkan dakwaan penggunaan tanpa kebenaran kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di bawah Seksyen 23A, selain pendudukan berterusan tanah milik plaintif melebihi kawasan subpajakan yang dibenarkan, sehingga mengakibatkan kerosakan alam sekitar yang serius serta kerugian kewangan.






