KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM116,182.95.
Tertuduh, Azhory Luran, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Hurman Hussain selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Azhory sebagai seorang pekerja (pembantu operasi) kepada syarikat yang telah diamanahkan untuk mengurus dan mengutip wang pembayaran pelanggan sebanyak RM116,182.95 telah melakukan pecah amanah iaitu menjadikan wang pembayaran itu bagi kegunaannya sendiri.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Januari 2025 sehingga 30 Jun 2025 di Fastrack Car Rental & Holidays Sdn.Bhd., di Penampang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 14 tahun dan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan pengurusan kes pra-perbicaraan, selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.






