Read Time:1 Minute, 23 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KENINGAU : Seramai 908 murid di Sabah terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh melibatkan tujuh buah sekolah di Beaufort, Tenom dan Kota Kinabalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, semua sekolah yang terlibat tidak dapat beroperasi pada hari ini atas faktor keselamatan dan keadaan fasiliti sekolah yang terjejas.

“Di daerah Beaufort, lima sekolah terkesan akibat banjir iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangkalalak; SK Garama; SK Jabang; SK Lago dan SK Suasa melibatkan 364 murid.
“Manakala kejadian tanah runtuh berlaku di SK Simpang, Tenom menyebabkan sekolah berkenaan ditutup sementara dengan 60 murid terlibat selepas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengarahkan pengosongan premis sekolah demi keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan tinjauan hari pertama persekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trus Madi di sini pada Isnin.
Raisin berkata, di Kota Kinabalu, SK Rampayan Menggatal terpaksa ditutup meskipun air banjir telah surut bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan penggantian perabot rosak, melibatkan 484 murid.
Menurutnya, pihak sekolah diberikan dua pilihan pendekatan pembelajaran, iaitu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau mengadakan kelas ganti pada hari Sabtu, bergantung kepada kesesuaian dan tahap kesiapsiagaan masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya komited memastikan akses pembelajaran murid tidak terjejas walaupun berdepan bencana, selain akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan menyalurkan maklumat terkini kepada ibu bapa serta warga sekolah.
Dalam perkembangan lain, Tinjauan Sabah Media di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 1 Kota Kinabalu mendapati lebih 100 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan pada tahun ini.

Murid terlibat akan menjalani program transisi serta mengikut beberapa program yang dilaksanakan di sekolah berkenaan. – SABAH MEDIA / FOTO KENINGAU FM







