Read Time:1 Minute, 13 Second
PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang disyaki terlibat dalam kes khianat kabel Telekom Malaysia (TM) dalam satu operasi awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat dan risikan Pasukan Petugas Khas (Kes Curi Kabel) Balai Polis Penampang yang mengesan sekumpulan lelaki sedang memotong kabel telekom di Jalan Taman Bulan, sebelum melarikan diri menaiki kenderaan.
“Susulan kejadian itu, satu aksi kejar-mengejar berlaku dari kawasan Penampang hingga ke Kota Kinabalu dengan bantuan kenderaan peronda polis (MPV) IPD Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek berjaya ditahan, manakala beberapa rakan suspek lain berjaya meloloskan diri dan kini sedang dikesan.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes antaranya segulung kabel telekom, pemotong besi serta sebuah kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Sammy menegaskan bahawa Polis Daerah Penampang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan kemudahan awam serta keselamatan masyarakat.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini atau mana-mana kes jenayah lain diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.






