Read Time:1 Minute, 8 Second
KUNDASANG: Keunikan landskap semula jadi serta persekitaran yang masih terpelihara menjadikan Kundasang antara lokasi berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan rekreasi berasaskan alam semula jadi.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Johari Suhaimin berkata, penganjuran sukan lasak seperti pacuan empat roda (4×4) di daerah itu membuka ruang kepada pengunjung dan peserta untuk merasai sendiri pengalaman rekreasi luar yang menggabungkan aktiviti lasak dengan keindahan alam sekitar.

“Acara 4×4 yang dianjurkan di kawasan ini memberi peluang kepada peserta dan pengunjung untuk menikmati keindahan alam semula jadi.
“Selain itu, peserta sambil menjalani aktiviti mencabar yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kundasang New Year Super Novice 4×4 Challenge 2026 di sini baru-baru ini.
Johari berkata, kehadiran peserta serta pengunjung turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat, khususnya kepada pengusaha kecil, peniaga tempatan dan komuniti sekitar.
Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar agar aktiviti pelancongan berasaskan alam dapat diteruskan tanpa menjejaskan flora dan fauna di kawasan berkenaan.
“Keseimbangan antara pembangunan pelancongan dan pemeliharaan alam semula jadi perlu diberi keutamaan supaya Kundasang kekal sebagai destinasi pelancongan yang lestari untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya lagi, penganjuran program sukan dan rekreasi berasaskan alam seperti itu juga diharap dapat diperkasakan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih meluas, sekali gus memperkukuh kedudukan Kundasang sebagai antara destinasi pelancongan sukan utama di negeri ini. – SABAH MEDIA






