Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

GLC Digesa Sokong Inisiatif Dapur Siswa UMS Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan – Sabah News

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tampil menghulurkan sumbangan bagi memperkasa inisiatif Dapur Siswa yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), khususnya dalam membantu pelajar kurang berkemampuan dari luar bandar.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib, berkata inisiatif yang diperkenalkan sejak November tahun lalu itu telah memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 pelajar, melibatkan dua kolej kediaman utama iaitu Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Mustapha.

Menurut beliau, Dapur Siswa merupakan pendekatan praktikal dalam meringankan beban kewangan pelajar, terutama ketika kos sara hidup dan harga makanan terus meningkat, sekali gus memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke dua buah Dapur Siswa UMS di sini. Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur, serta barisan pegawai kanan universiti.

“Kerajaan negeri komited memastikan kelangsungan program ini dan akan memaklumkan kepada beberapa GLC serta syarikat berkemampuan agar turut sama menyumbang, sama ada dalam bentuk bahan mentah makanan atau bantuan kewangan,” katanya.

Sebagai sokongan awal, beliau memaklumkan bahawa beberapa GLC di bawah kementeriannya telah dibawa bersama dalam menjayakan inisiatif tersebut, selain sumbangan peribadi berjumlah RM30,000 bagi menyokong pelaksanaan Dapur Siswa UMS.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif berkenaan turut dirancang untuk diperluaskan ke kampus UMS di Labuan dan Sandakan, selaras dengan hasrat kerajaan negeri memastikan kebajikan semua mahasiswa di Sabah terus terjamin.

LEAVE A RESPONSE