Read Time:1 Minute, 19 Second
KOTA KINABALU: Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memperkenalkan program pengajian baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina dan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan mulai tahun 2026.
Profesor di FKJ, Prof. Ar. Nurakmal Goh berkata, kedua-dua program pengajian tersebut telah memperoleh kelulusan akreditasi sementara daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) baru-baru ini.
”UMS dijangka akan menerima kohort pertama pelajar dalam program Alam Bina ini seawal Mac 2026.
”Pengenalan kedua-dua program ini bakal membuka peluang kepada pelajar tempatan yang selama ini terpaksa menyambung pengajian senibina di luar negeri untuk terus menimba ilmu di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Cawangan Sabah baru-baru ini.
Nurakmal turut berkata, kunjungan hormat tersebut juga adalah satu langkah awal universiti untuk menjalin kerjasama strategik dengan PAM bersempena dengan pengenalan program pengajian baharu tersebut.
“Di samping itu, ini juga bagi mengukuhkan hubungan dengan pengamal industri serta memberi ruang kerjasama melalui seminar, forum, panel penasihat dan projek tanggungjawab sosial korporat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi PAM Sabah, Ar. Daniel Koh berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif UMS dan menganggapnya sebagai pencapaian penting bagi pembangunan pendidikan Alam Bina di Sabah.
“PAM Sabah berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan UMS demi melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang ini.
“Kerjasama ini diharap dapat diperluaskan melalui pelbagai platform termasuk penerbitan, forum serta aktiviti komuniti,” katanya.
Hadir sama pada sesi kunjungan tersebut bekas Pengerusi PAM Sabah, Ar. Mok Juang Yu dan Ar. Sim Sie Hong. – SABAH MEDIA / FOTO UMS