Read Time:1 Minute, 49 Second
BAGAN DATUK : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai usaha pemerkasaan pendidikan tahfiz negara menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sempena Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara baru-baru ini.
UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam pemeteraian MoU tersebut yang melibatkan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM–UMS yang akan dilaksanakan oleh Fakulti Pengajian Islam UMS dengan kerjasama Pusat Islam UMS.
Kerjasama tersebut membuka laluan pendidikan dan pensijilan huffaz secara lebih sistematik serta selari dengan keperluan semasa pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negara.
Secara keseluruhan, sebanyak 10 dokumen MoU dimeterai pada majlis tersebut yang melibatkan JAKIM bersama jabatan agama Islam negeri, institusi pengajian tinggi dan institut kemahiran menerusi tiga inisiatif utama iaitu Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Program Pensijilan Tahfiz al-Quran serta Sijil Perakuan Hafazan Bertahap.
Inisiatif berkenaan memberi peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja dalam bidang pengajian Islam, malah merentasi bidang profesional dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pada majlis itu turut berlangsung perasmian Standard Pengiktirafan Huffaz yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata pelaksanaan Standard Pengiktirafan Huffaz yang bermula pada 2026 akan menjadi penanda aras penting bagi memastikan kualiti institusi tahfiz.
“Ini merangkumi aspek tadbir urus, kurikulum, prasarana, kebajikan pelajar serta pembangunan profesional guru.
“Negara memerlukan huffaz yang bukan sahaja unggul dalam hafazan al-Quran, malah mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengumumkan pemberian insentif RM50,000 kepada 10 institusi tahfiz terbaik berdasarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM), melibatkan jumlah keseluruhan RM500,000 sebagai galakan kecemerlangan institusi tahfiz negara.
Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Bertemakan “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani”, Himpunan Huffaz 2025 menjadi platform penting memperkukuh Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) ke arah melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing selari aspirasi Malaysia MADANI.
Majlis berprestij itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pendidikan tahfiz sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan nasional yang tersusun, berstandard dan berkualiti.






