Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

MBS sasar 40 peratus penyertaan anak muda dalam platform belia


Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) meletakkan sasaran 40 peratus penyertaan anak muda ke dalam kelab dan persatuan belia di negeri itu pada tahun depan.

Menurut Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan angka tersebut sebagai penanda aras dalam usaha merancakkan pembangunan belia di negeri itu.

“Penyertaan belia di dalam kelab, persatuan, dan kesukarelawanan berlegar sekitar 15 peratus daripada populasi keseluruhan belia Sabah, iaitu seramai 2.2 juta orang.

“MBS meletakkan sasaran penyertaan sebanyak 40 peratus sebagai penanda aras untuk dicapai bersama badan-badan gabungan belia di Sabah.

“Misi yang akan digarap secara kolektif ini bagi merancakkan pembangunan belia di Sabah”, ujar Abqaree dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama, menurut Abqaree perancangan untuk merancakkan pembangunan belia di negeri itu memerlukan bantuan kewangan tambahan daripada kerajaan untuk membiayai program-program pembangunan belia di peringkat akar umbi.

“Bagi mencapai sasaran 40 peratus, MBS merancang untuk memperbanyakkan program-program berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi pada tahun 2026.

“Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan sokongan kuat kerajaan terutamanya dalam aspek kewangan.

“Adalah harapan kami agar kerajaan melihat misi ini sebagai salah satu bentuk pelaburan dalam konteks pembangunan modal insan yang akan menyuburkan potensi belia di negeri ini”, katanya.

Untuk rekod, sebanyak 19 badan gabungan belia iaitu bernaung di bawah MBS iaitu, Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Sabah, The Girls Brigade (GB) Sabah, The Boys Brigade (BB) Sabah, St. John Ambulance Malaysia (SJAM) Sabah, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah, dan Junior Chamber International (JCI) Sabah, dan 9 lagi gabungan persatuan belia bahagian.

LEAVE A RESPONSE