Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Mahkamah Sabah Sepanjang 2025: Kes jenayah seksual mendominasi

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Kes jenayah seksual terus mendominasi prosiding mahkamah di Sabah sepanjang tahun 2025, melibatkan pelbagai pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen.

Antara kes berprofil tinggi yang menarik perhatian awam ialah kes melibatkan seorang ahli politik, Phillip Among, yang didapati bersalah mencabul seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di sebuah penginapan di Asia City pada April 2021.

Phillip, yang digantung jawatannya sebagai Penyelaras Parlimen Putatan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Jun 2021 susulan kes berkenaan, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000, atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mahkamah Majistret bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sepanjang tahun ini, prosiding mahkamah turut menyingkap realiti pahit apabila banyak kes rogol dan penderaan seksual didapati dilakukan oleh individu yang dipercayai mangsa, termasuk bapa kandung, bapa tiri, datuk, bapa saudara dan guru.

Sebahagian mangsa dilaporkan hamil dan melahirkan anak akibat perbuatan jenayah tersebut, manakala beberapa kes turut melibatkan mangsa lelaki.

Hakim Mahkamah Sesyen berulang kali menyifatkan jenayah rogol dan penderaan seksual sebagai kesalahan serius dan berleluasa, dengan kes seumpamanya hampir setiap hari dibawa ke mahkamah.

Pihak pendakwaan pula secara konsisten memohon hukuman berat sebagai pengajaran dan langkah pencegahan.

Antara hukuman paling berat dijatuhkan tahun ini melibatkan seorang lelaki berusia 40 tahun yang merogol dua anak tirinya selama 11 tahun di Keningau.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 22 sebatan terhadap tertuduh selepas mendapati mangsa mula didera secara seksual ketika berusia enam dan sembilan tahun.

Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 30 tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ketika menghantar dan mengambil mereka ke tadika.

Sementara itu, seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan satu sebatan selepas didapati bersalah melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di bangunan JPN Kota Kinabalu.

Mahkamah menegaskan tertuduh telah menyalahgunakan kedudukannya dengan memperdaya mangsa untuk datang dari Tawau atas alasan urusan kad pengenalan.

Beberapa kes lain masih berlangsung, termasuk kes seorang guru agama yang didakwa melakukan grooming seksual terhadap seorang remaja lelaki melalui mesej berunsur lucah.

Selain itu, seorang guru sekolah rendah berusia 33 tahun didakwa atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat murid berusia 11 tahun di sebuah sekolah di Kudat dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Dalam pada itu, seorang guru sekolah rendah berusia 45 tahun dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

LEAVE A RESPONSE