TAWAU: Polis menahan tiga lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian sabung ayam dalam satu serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Sin Onn Tiku, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan sejurus sepasukan polis dari Balai Polis Tawau menerima maklumat awam mengenai kegiatan sabung ayam yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek merupakan warga asing berusia antara 39 hingga 60 tahun dan ditahan di lokasi kejadian ketika serbuan dijalankan.
“Polis turut merampas seekor ayam yang dipercayai milik salah seorang suspek dan disyaki digunakan untuk aktiviti sabung ayam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Tawau bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perjudian serta penganiayaan haiwan yang melanggar undang-undang.







