KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia sembilan tahun, baru-baru ini.
Tertuduh, Shim Jia Yeong, 45, didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap Ayden Shim pada 14 Disember, kira-kira jam 1.40 tengah hari, di sebuah rumah di Taman Sunny Garden.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Shim yang dibawa masuk ke bilik mahkamah menggunakan kerusi roda di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, pada Selasa.
Pengakuan Shim hanya akan direkodkan di Mahkamah Tinggi selepas kes itu dipindahkan ke mahkamah berkenaan.
Shim, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah turut dihukum sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa, Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah, memohon supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang bagi pemerhatian mental dan laporan psikologi.
Majistret Dzul menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan dan memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja, direman lanjut.






