Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Rakyat Sabah diseru terus pelihara hubungan baik antara kaum, agama – TYT

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diseru agar terus memelihara hubungan baik antara kaum dan agama bagi menjamin kesinambungan perpaduan serta keharmonian di negeri ini.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkata negeri dan negara akan terus makmur sekiranya rakyat mengamalkan sikap toleransi serta saling menghormati.

“Di Sabah, kita berbangga dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang hidup aman serta saling bergantung antara satu sama lain.

“Inilah kekuatan Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian dan keharmonian yang wajar dipelihara.

“Krismas bukan sekadar sebuah perayaan, sebaliknya membawa mesej kasih sayang, kedamaian dan harapan. Nilai-nilai ini amat penting dalam membina masyarakat yang bersatu padu dan saling menghormati,” ujarnya semasa Perutusan Khas Selamat Hari Natal 2025 dan Tahun Baharu 2026, pada Selasa.

Menurut Tun Musa, Sabah berdepan pelbagai cabaran sepanjang 2025 antaranya ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim serta keperluan menyesuaikan diri dengan kepesatan perkembangan teknologi yang memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat.

“Namun, rakyat Sabah sekali lagi membuktikan kekuatan dan daya tahan mereka. Pembangunan ekonomi yang menyeluruh kekal menjadi teras utama dalam usaha memacu kemajuan negeri ke arah masa depan yang lebih makmur dan berdaya saing,” katanya.

Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pembangunan dapat dinikmati secara seimbang oleh rakyat di seluruh pelosok negeri tanpa mengira latar belakang.

“Kejayaan pembangunan ekonomi yang inklusif bergantung kepada tadbir urus berintegriti, penyampaian perkhidmatan awam yang cekap serta kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat.

“Dengan semangat kebersamaan ini, saya yakin Sabah mampu melangkah ke tahap kemajuan yang lebih tinggi, selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya,” jelasnya.

Tambah Tun Musa lagi, Sabah kini berada di landasan yang tepat menuju masa depan yang lebih cerah dan masih terdapat ruang penambahbaikan.

“Kemajuan positif dapat dilihat dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, infrastruktur, digitalisasi, penyampaian perkhidmatan awam serta pembangunan luar bandar.

“Pelbagai inisiatif berimpak tinggi terus dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di bandar dan luar bandar, termasuk program peningkatan pendapatan, peluang keusahawanan, akses pendidikan berkualiti serta peluasan capaian digital,” katanya.

Menurut beliau, segala usaha itu selaras dengan aspirasi memastikan rakyat tanpa mengira lokasi, kaum dan latar belakang mempunyai peluang yang adil, kehidupan lebih berkualiti serta masa depan yang terjamin.

Mengakhiri perutusannya, Tun Musa mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua penganut agama Kristian serta rakyat Sabah yang meraikannya.

“Semoga sambutan Krismas diraikan dalam suasana aman, meriah dan penuh kasih sayang bersama keluarga serta insan tersayang,” ucapnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, agensi penguat kuasa, badan sukarela serta seluruh rakyat Sabah atas sumbangan dan komitmen berterusan. – Penerangan

LEAVE A RESPONSE