Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Khidmat polis bantuan tidak boleh disalah guna, dikomersialkan

Read Time:1 Minute, 44 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pihak yang menggunakan khidmat polis bantuan diingatkan supaya tidak menyalah tafsir fungsi pasukan itu atau menggunakannya bagi tujuan komersial.

Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata polis bantuan diwujudkan bagi menyokong ekosistem keselamatan negara serta membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam skop tanggungjawab yang ditetapkan.

Beliau berkata sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, penugasan di luar kelulusan, penggunaan anggota atau aset bagi tujuan komersial di samping pelaksanaan tugas yang bercanggah dengan peraturan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Amalan sedemikian bukan sahaja menyalahi peraturan, malah boleh menjejaskan kredibiliti serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi keselamatan,” katanya dalam ucapan penutup Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) ke-36 di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata isu pengisian perjawatan polis bantuan perlu diberi perhatian serius kerana kekurangan anggota, penugasan tidak seimbang serta perancangan sumber manusia tidak teratur boleh memberi kesan langsung terhadap kecekapan operasi dan tahap keselamatan di premis masing-masing.

“Saya menyeru setiap agensi agar merancang pengisian perjawatan secara lebih strategik dan berfasa, berpandukan keperluan sebenar operasi bagi meningkatkan keberkesanan tugas serta memastikan kebajikan anggota terpelihara,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 57,000 jawatan polis bantuan telah diluluskan, namun hanya 27,000 daripadanya digazetkan setakat ini.

Nik Ros Azhan berkata tahap profesionalisme dan kompetensi anggota polis bantuan juga perlu diperkasakan secara berterusan sejajar dengan perkembangan ancaman keselamatan dan kemajuan teknologi.

“Peningkatan kemahiran perlu dilaksanakan secara sistematik dan berfokus kerana polis bantuan kini bukan sahaja berdepan ancaman fizikal, malah turut terdedah kepada cabaran teknologi, keselamatan siber, pengurusan krisis serta interaksi bersama masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Presiden MAPA Datin Seri Asmawati Ahmad berharap lebih banyak agensi berdaftar dengan MAPA bagi memudahkan mereka berusan dengan PDRM khusunya JPJKK Bukit Aman dari segi program latihan termasuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan polis bantuan.

“Ketika ini, 181 agensi berdaftar di bawah MAPA daripada jumlah keseluruhan 281 agensi yang direkodkan menggunakan khidmat polis bantuan di seluruh negara dengan Malaysia Airport Holding Berhad, FGV Holding Berhad dan syarikat di pelabuhan antara paling ramai menggunakan khidmatan pasukan itu,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A RESPONSE