Read Time:1 Minute, 54 Second
KOTA KINABALU : Kejohanan Ladies Picklefest 2025 yang berlangsung meriah di sini pada Sabtu berjaya menarik penyertaan menggalakkan daripada pemain pickleball wanita dan junior, sekali gus membuktikan perkembangan positif sukan tersebut di Sabah.
Kejohanan anjuran bersama Bounce Pickleclub, Velocity Dinkers dan Kota Kinabalu Picklevall Association itu mempertandingkan beberapa kategori termasuk Open, Intermediate, Novice dan Junior Open, dengan tawaran hadiah wang tunai yang menarik.

Dalam kategori Open, pasangan Joanne Chong dan Janiece Chong muncul juara selepas menewaskan cabaran sengit daripada peserta lain dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,300.
Tempat kedua bagi kategori itu dimenangi Abbie Yu dan Winnie Han dengan membawa pulang hadiah RM1,800, manakala tempat ketiga menjadi milik Teh Xiau Xuan dan Belynda Tan yang menerima RM1,300.
Bagi kategori Intermediate, pasangan Chong Siaw Fun dan Kimberley Lo dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah RM1,800.

Abbie Yu dan Winnie Han sekali lagi menunjukkan konsistensi apabila meraih tempat kedua dengan RM1,300, sementara Trisha Mojulat dan Courtney Barlow di tempat ketiga membawa pulang hadiah RM800.
Dalam kategori Novice, pasangan Rabiah dan Lorenza muncul juara dan menerima hadiah wang tunai RM1,500.
Tempat kedua dimenangi oleh Tan Ju Winn dan Chan Sook Kwan dengan hadiah RM1,000, manakala Jess dan Elvy di tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM600.
Semua hadiah bagi ketiga-tiga kategori disampaikan isteri kepada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan & Ekonomi Kreatif, Datin Wahidah Mardiana Norsalim.

Sementara itu, bagi kategori Junior Open menyaksikan bakat muda menyerlah apabila pasangan Nurnazatul dan Nurnazwawatul dari Bukit Quoin, Tawau menjuarai kategori tersebut dengan membawa pulang hadiah RM800.
Tempat kedua dimenangi oleh Thaddeus Liew dan Theodore Guansing dengan hadiah RM600, manakala Danial Irfan dan Rafael di tempat ketiga menerima RM400.
Hadiah bagi kategori Junior Open disampaikan Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran.

Presiden Bounce Pickleclub, Zahiera Ismail berkata pihaknya berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform mencungkil bakat baharu.
Katanya, ia khususnya dalam kalangan wanita dan golongan muda, di samping mempopularkan sukan pickleball di peringkat negeri dan nasional. – SABAH MEDIA






