Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Hajiji bangga pencapaian anak Sabah terima Anugerah Kepimpinan ASEAN

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak jati Sabah, Gerald Wong, yang dipilih sebagai penerima “The 7th ASEAN Rural Development and Poverty Eradication Leadership Award”, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat serantau.

Katanya, kejayaan Gerald yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou dari Telupid itu  membuktikan  keupayaan anak Sabah  untuk  bersaing serta memimpin  inisiatif pembangunan luar bandar di peringkat ASEAN.

“Saya merakamkan tahniah atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Kejayaan saudara Gerald wajar dijadikan contoh, khususnya kepada golongan belia Sabah, bahawa usaha gigih dan komitmen dalam membangunkan masyarakat mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya semasa bertemu Gerald di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini pada Khamis.

Gerald merupakan antara 20 penerima anugerah daripada 10 negara ASEAN, sekali gus meletakkan Sabah sebaris dengan tokoh-tokoh pembangunan luar bandar serantau yang menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam usaha pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan komuniti.

Mengulas pengiktirafan diterimanya, Gerald berkata, anugerah berkenaan adalah hasil usaha kolektif bersama komuniti luar bandar yang terlibat secara langsung dalam pelbagai inisiatif pertanian moden yang dilaksanakan.

“Melalui Farm Tokou, kami memperkenalkan pendekatan pertanian moden seperti hidroponik, akuaponik serta sistem pertanian berteknologi, disokong latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi komuniti yang membantu menjana pendapatan sampingan secara mampan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini Farm Tokou telah beroperasi di Telupid dan Penampang, selain membimbing lebih 100 komuniti luar bandar di 10 daerah sejak 2023, termasuk Telupid, Penampang, Sook, Ranau, Kudat dan Papar.

Menurutnya, kejayaan itu bukan milik individu semata-mata, sebaliknya kejayaan bersama komuniti luar bandar yang komited menerima perubahan dan inovasi dalam sektor pertanian.

“Anugerah ini adalah milik semua komuniti yang percaya bahawa pertanian moden mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.

LEAVE A RESPONSE