Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kestabilan politik, kesinambungan dasar penting untuk pembangunan sabah

Read Time:2 Minute, 8 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Beberapa usahawan wanita Sabah berpendapat bahawa kesinambungan dasar dan kestabilan politik amat penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan.

Mereka juga beranggapan adalah tidak adil menilai prestasi sesebuah kerajaan hanya berdasarkan satu penggal pentadbiran, sebaliknya rakyat perlu melihat rekod serta usaha kerajaan dalam memperkukuh pelaksanaan dasar dan janji manifesto.

Pengarah Urusan AIC Footprints Travels & Tours Sdn Bhd, Hirna Tahir, berkata rakyat wajar memberi ruang kepada kerajaan untuk memperbaiki kelemahan sedia ada dan memperkukuh pelaksanaan dasar sedia ada.

“Bagi saya, menilai kerajaan hanya dalam satu penggal memang tidak adil. Banyak perkara memerlukan masa dan kesinambungan dasar. Jika diberi peluang lima tahun lagi, kerajaan boleh belajar daripada kelemahan lalu dan memperbaiki pelaksanaan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Hirna menyifatkan langkah itu sebagai peluang untuk rakyat membuat pilihan baharu secara demokratik, namun mengingatkan agar penilaian terhadap kerajaan dilakukan secara rasional dan adil.

Menurutnya, kestabilan politik amat penting untuk sektor pelancongan dan keusahawanan kerana perubahan kerajaan sering kali membawa perubahan dasar dan prosedur yang boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan.

“Ketidakstabilan politik memberi kesan kepada peniaga. Bila kerajaan berubah, dasar pun berubah. Itu menyukarkan kami, terutama dalam industri pelancongan. Kami mahu dasar yang konsisten supaya mudah merancang,” katanya.

Hirna menegaskan beliau bersikap neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, namun menyeru rakyat menilai kerajaan berdasarkan prestasi serta kesungguhan dalam melaksanakan janji pembangunan rakyat.


Sokongan Kepada Usahawan dan Pelancongan

Seorang lagi usahawan wanita, Faridah Muri, Pengarah Urusan AMG Academy, turut bersetuju bahawa rakyat perlu menilai kerajaan berdasarkan pencapaian, bukan semata-mata sentimen politik.

Beliau berharap kerajaan seterusnya memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi negeri, di samping memperluas pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) untuk anak muda, khususnya di luar bandar.

“Sektor pelancongan perlu diberikan nafas baharu dengan produk yang kreatif dan berdaya saing. Dalam masa sama, kerajaan perlu mendekati belia di kampung-kampung melalui TVET supaya mereka mendapat peluang membina masa depan lebih baik,” katanya.


Pentingnya Kesinambungan Dasar

Kedua-dua usahawan wanita itu sependapat bahawa kestabilan politik dan kesinambungan dasar kerajaan adalah kunci kepada peningkatan pelaburan, pemulihan sektor pelancongan pasca pandemik serta pengukuhan keusahawanan tempatan.

“Kerajaan yang diberi masa secukupnya akan lebih mampu melaksanakan projek pembangunan jangka panjang dengan baik. Kita tidak boleh mengharapkan perubahan drastik dalam tempoh satu penggal,” kata Hirna.

Mereka menyeru rakyat agar menilai dengan matang supaya keputusan yang dibuat pada pilihan raya akan datang benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.

LEAVE A RESPONSE