Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerajaan Sabah tingkat akses kemudahan asas dan peluang ekonomi untuk rakyat

Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat akses kepada kemudahan asas, peluang ekonomi, dan kualiti hidup yang lebih baik melalui pembangunan kawasan bandar dan luar bandar yang seimbang.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Pejabat-Pejabat Daerah dan Daerah Kecil diperuntukkan sebanyak RM317.72 juta untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di peringkat daerah.

Menurut beliau, pada 2026, KPLB akan melaksanakan program dan projek baharu berimpak tinggi yang memberi kesan signifikan terhadap kesejahteraan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti pedalaman yang masih belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air bersih dan perhubungan jalan raya yang selamat.

“Bagi memastikan tadbir urus di daerah dapat memenuhi kehendak Kerajaan, Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah akan menjadi platform penyelarasan strategik dalam melaksanakan dasar pembangunan luar bandar agar lebih cekap, telus dan efisien,” katanya dalam ucapan Belanjawan Sabah 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Masidi berkata, di bawah RMKe-13, siling peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM1.71 bilion untuk melaksana sebanyak 13 projek baharu.

“Pada tahun 2026, KPLB akan melaksanakan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB). Ketiga-tiga program tersebut dirangka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui akses kepada tenaga, air bersih dan jaringan infrastruktur yang lebih selamat,” tambahnya.

Bagi pembangunan di bandar dan luar bandar, Masidi berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) serta Jabatan dan Agensi di bawahnya akan diperuntukkan sebanyak RM257.44 juta bagi Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan.

Menurutnya, di bawah RMKe-13, siling peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM280.19 juta merangkumi 70 projek pembangunan iaitu 24 projek sambungan dan 46 projek baharu.

Sebanyak RM11.14 juta diperuntukkan pada tahun hadapan bagi pemberian kapital kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan pelbagai projek sambungan dan baharu di seluruh Sabah.

“Antara projek utama termasuklah Pembinaan Tamu Minggu Melalap; Menaik Taraf Dewan Komuniti Kota Marudu; pembinaan terminal bas dan pasar baharu di daerah-daerah utama seperti Beaufort dan Keningau. Projek-projek ini bukan sahaja akan memperkukuh infrastruktur asas pentadbiran dan perdagangan tempatan, malahan juga mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada peniaga kecil serta memudahkan rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Selain itu, kerajaan Sabah juga kekal komited memastikan rakyat menikmati persekitaran yang bersih, sihat dan berkualiti.

Pelbagai usaha akan dilaksanakan oleh KKTP, termasuk menaik taraf tapak pelupusan sisa pepejal di Semporna, Keningau, Papar, Beaufort, Kudat dan Tawau; melaksanakan inisiatif pengurangan sisa ke tapak pelupusan; dan meneliti model pengurusan sisa pepejal bersepadu bagi menyelaras pelaksanaan antara PBT dan kementerian serta menggalakkan penyertaan sektor swasta.

Kerajaan Sabah turut memberi keutamaan kepada pembangunan perancangan bandar dan wilayah yang seimbang termasuk perairan di seluruh Sabah agar lebih teratur, progresif dan mampan.

“Oleh itu, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah diperuntukkan sebanyak RM6.57 juta pada tahun hadapan. Daripada jumlah tersebut, RM500 ribu diperuntukkan bagi pembangunan pelan-pelan daerah di Semporna dan Kunak,” katanya.

LEAVE A RESPONSE