Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Belanjawan 2026: Kerajaan Sabah umum Bantuan Khas sebulan gaji untuk 18,853 penjawat awam


Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan bersamaan satu bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri, termasuk pegawai berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri  di sini, hari ini.

“Bantuan Khas Kewangan berkenaan akan melibatkan 18,853 penjawat awam dengan implikasi kewangan dianggarkan RM52.6 juta. Pembayaran akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada Februari, sebelum Hari Raya Aidilfitri, dan sebelum sambutan Pesta Kaamatan 2026.

” Kerajaan turut memanjangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pesara kerajaan Sabah sebanyak RM1,000, yang akan dibayar pada tahun hadapan,” katanya.

Menurut Masidi, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM7.6 juta bagi menggalakkan pembelajaran berterusan dalam kalangan penjawat awam, sekali gus melahirkan barisan pegawai berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya kepimpinan.

Selain itu, katanya, RM16.85 juta turut diagihkan kepada semua agensi kerajaan negeri bagi pembangunan sumber manusia, memastikan penjawat awam terlatih, cekap serta dilengkapi kemahiran yang relevan dalam menghadapi cabaran semasa.

LEAVE A RESPONSE