Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Dr Fatimah Sabrina gesa kerjasama holistik perkasa komuniti OKU Sabah


Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) menganjurkan Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial bertemakan “Mengeratkan Usaha, Memperkukuhkan Komuniti” bagi memperkukuh sinergi sosial serta memastikan golongan rentan mendapat akses sokongan yang adil.

Program yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini pada Khamis (11 Dis) menghimpunkan lebih 120 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, institusi pemulihan dan rakan industri sosial itu memberi penekanan kepada kerjasama antara sektor melalui pengurusan sukarelawan yang lebih tersusun, perkongsian amalan terbaik dan penyelesaian inovatif terhadap isu sosial yang semakin kompleks.

Forum turut menyediakan ruang perbincangan mengenai pendekatan baharu untuk membina ekosistem sosial yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Dr Sabrina (kiri) bersama tiga panel penceramah di dalam forum itu.

Salah satu sesi bertajuk “Memperkukuh Kerjasama bagi Pembangunan Kemahiran dan Pekerjaan untuk Orang Kurang Upaya (OKU)” dikendalikan oleh Dr Fatimah Sabrina Moahmmad, seorang OKU fizikal yang juga tokoh advokasi OKU serta mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS). Panel sesi tersebut melibatkan wakil PERKESO, Kompleks Pemulihan OKU Kimanis dan Persatuan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire Sabah.

Perbincangan memberi tumpuan kepada keperluan menghubungkan latihan pemulihan dengan peluang pekerjaan sebenar bagi OKU di Sabah. Dr Fatimah turut berkongsi bahawa UMS menerima mahasiswa berstatus OKU dan melaksanakan dasar pengambilan sekurang-kurangnya satu peratus pekerja OKU.

Dalam seruannya, beliau menekankan perlunya anjakan paradigma yang lebih berani dan menyeluruh dalam memajukan komuniti OKU.

“Sebagai seorang OKU fizikal, saya melihat sendiri jurang antara latihan, sokongan dan peluang pekerjaan. Sabah memerlukan ekosistem inklusif yang tidak lagi bergerak secara silo. OKU bukan liabiliti, kami aset strategik dengan potensi tersendiri.

“Kerjasama holistik rentas agensi adalah tanggungjawab moral dan nasional. Hanya melalui usaha kolektif kita mampu menyediakan laluan kemahiran dan pekerjaan yang benar-benar bermakna bagi komuniti OKU,” katanya.

Tambah Dr Fatimah, forum berkenaan mengukuhkan komitmen MPMS untuk memperkasa jaringan perkhidmatan sosial dan memastikan golongan rentan, termasuk komuniti OKU, menerima sokongan yang saksama.

“Dengan kolaborasi yang lebih kukuh, Sabah diyakini mampu membina masyarakat yang inklusif, progresif dan berdaya tahan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE