Tourism Malaysia Sabah promosi pelancongan pedalaman melalui program ‘Mansau-Ansau Borneo Trail’
Read Time:1 Minute, 40 Second
TAMBUNAN: Tourism Malaysia Sabah terus mempergiat usaha mempromosikan pelancongan domestik, khususnya di kawasan pedalaman negeri ini menerusi penganjuran program “Mansau-Ansau Borneo Trail” di Daerah Tambunan, yang berlangsung selama dua hari bermula 6 Disember lalu.
Program edisi ketiga itu melibatkan penyertaan dua wakil agensi pelancongan dan dua pengamal media tempatan, bertujuan memberi pendedahan secara langsung terhadap keunikan produk pelancongan desa serta keindahan alam semula jadi yang dimiliki Tambunan, yang turut dikenali sebagai ‘The Switzerland of the East’.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar, berkata penganjuran program itu memberi fokus kepada pengalaman pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelancong tempatan.
“Kita membawa wakil agensi pelancongan dan media untuk mengalami sendiri konsep experiential tourism serta mendekati adat dan budaya tempatan, khususnya di kawasan pedalaman Sabah yang terkenal dengan pendekatan CBT,” katanya.
Sepanjang lawatan, peserta berpeluang menginap di Kampung Sunsuron Homestay, menikmati jamuan tradisi masyarakat Kadazan Dusun, selain mendalami elemen warisan tempatan menerusi kunjungan ke Rumah Tengkorak, satu tapak budaya unik di daerah itu.

Peserta turut dibawa mengunjungi beberapa destinasi alam semula jadi popular termasuk Air Terjun Mahua di Hutan Simpan Crocker Range, Rafflesia Information Centre serta Sinurambi Viewing Point yang menawarkan pemandangan panorama dari menara setinggi 14 meter.
Program ini turut menampilkan elemen pelancongan lasak di Kawang-Kawang Canyon, sekali gus memperlihatkan potensi besar Kampung Tiong dalam pembangunan pelancongan berasaskan alam sebagai produk tarikan baharu di pedalaman Sabah.
Menurut Haryanty, penglibatan media tempatan dalam program ini juga merupakan strategi penting Tourism Malaysia dalam memperluas promosi pelancongan melalui platform digital menerusi konsep travel and storytelling yang lebih berkesan serta berimpak tinggi.
Program “Mansau-Ansau Borneo Trail” ini turut menjadi sebahagian daripada persiapan awal ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang menyasarkan 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa, di samping mengukuhkan kedudukan destinasi domestik sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.
Tourism Malaysia yakin, dengan kerjasama berterusan semua pihak termasuk komuniti setempat, pengusaha pelancongan dan agensi media, sektor pelancongan domestik Sabah akan terus berkembang sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar. – SABAH MEDIA






